Wednesday, May 30, 2012

SEJARAH PERKEMBANGAN BM

                
Sejarah perkembangan Bahasa Melayu perlu dilihat dari sudut etimologi kata “Melayu”. Asal usul perkataan ini sebenarnya masih belum disahkan oleh ahli sejarah.

Catatan Cina yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada Maharaja Cina sekitar tahun 644-645 Masihi.

Pertubuhan UNESCO telah memilih istilah Melayu bagi merujuk kepada suku bangsa yang berBahasa Melayu yang mendiami Semenanjung tanah Melayu, pantai timur Sumatera, dan beberapa tempat lagi yang berdekatan.

Bangsa Melayu dikatakan berasal dari Asia Tengah atau dari Nusantara (kepulauan Melayu). Ini berdasarkan  dua teori  yang dikemukakan oleh para pengkaji, iaitu R.H. Geldern dan J.H.C. Kern.

Dalam kajian ini istilah filum digunakan bagi menggambarkan kelompok bahasa yang menjangkau lebih 5,000 tahun.   Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji, Bahasa Melayu didapati tergolong dalam filum bahasa-bahasa Austris yang mempunyai tiga rumpun utama, iaitu bahasa Austroasia, Tibet-China dan Austronesia.   

Istilah rumpun digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang mempunyai tempoh masa antara 2,500 - 5,000 tahun. Rumpun Bahasa Austronesia terbahagi kepada empat cabang, iaitu bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu (Nusantara), bahasa-bahasa Polinesia (bahasa-bahasa di Hawaii, Tonga dan New Zealand iaitu di kalangan bangsa Maori), Melanesia (bahasa-bahasa di Fiji, Irian, dan New Caledonia), dan Mikronesia (bahasa-bahasa di kepuluan Gilbert, Carolina, Marshall dan Marianna).

Istilah keluarga digunakan bagi menggambarkan sekelompok bahasa yang kurang daripada 2,500 tahun. Kumpulan Bahasa Melayu Johor mempunyai induknya daripada Bahasa Melayu Johor kemudian Bahasa Melayu tengah sebelum ke Bahasa Melayu induk yang dikatakan berasal daripada Bahasa Melayu Proto yang merupakan kumpulan Bahasa Austronesia.

Bahasa Melayu Kuno keluarga bahasa Nusantara dan berkembang dari abad ke-7 hingga abad ke-13 sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa lingua franca. Penuturnya terdapat di semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau dan Sumatera.

Bahasa Melayu Klasik dikatakan bermula pada abad ke-13 dan berakhir pada abad ke-19. Bahasa Melayu Klasik ini diasaskan sewaktu terdirinya kerajaan Islam pertama di sebelah timur Aceh, iaitu kerajaan Samudera-Pasai  di bawah Sultan Malikul Salih.

Bahasa Melayu Klasik dikatakan mengalami zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Melaka, Aceh dan Johor Riau.

Bahasa Melayu Klasik jelas banyak digunakan dalam penulisan agama khususnya bidang tauhid atau usuluddin, syariah atau undang-undang Islam, dan tasawuf. Karya agama yang tertua dihasilkan dalam Bahasa Melayu Klasik ialah  ‘Aqai’id al-Nasafi.

Dari segi sejarah, Bahasa Melayu Klasik mempunyai kesignifikanannya tersendiri. Bahasa ini dikatakan sebagai titik bermulanya Bahasa Melayu Moden.

RUMUSAN
               
Era pramerdeka ialah zaman memperjuangkan taraf atau status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
 Era Bahasa Melayu pramerdeka bermula dengan tertubuhnya ASAS 50 (ditubuhkan pada 6 Ogos 1950) hingga kepada kemerdekaan 1957.

Persatuan ini terdiri daripada penulis yang dikenali sebagai Angkatan Sasterawan 50 atau ringkasnya ASAS 50 telah di tubuhkan di Singapura.

Pada zaman ini asas perjuangan badan ini ialah mengutamakan Bahasa Melayu dan merancang pemodenan serta perkembangan bahasa ini diperjuangkan melalui saluran politik.
Kewujudan Bahasa Melayu pada era ini lebih kepada perjuangan menjadikan Bahasa Melayu bahasa kebangsaan negara melalui kuasa politik.

Pertemuan guru-guru Melayu yang telah diadakan pada 1 Oktober 1950 di Kelab Kota Raja, Singapura bertujuan
 untuk menubuhkan perkumpulan yang akan berjuang untuk memajukan Bahasa Melayu. Pertemuan  digerakkan oleh Cikgu Mahmud Ahmad dengan  kerjasama Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS). 
Pertubuhan ini didaftarkan dan disahkan oleh kerajaan pada 26 April 1951.

Berita Lembaga merupakan penerbitan LBM yang diedarkan kepada ahli-ahlinya sahaja dan beredar sebanyak empat keluaran.
 LBM tidak membawa aliran baru atau mempelopori pemodenan dalam lapangan bahasa, dan kesusasteraan Melayu.

Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Pertama yang diadakan pada 12 dan 13 April 1952 diadakan di Hotel Sea View, Singapura memutuskan asas perjuangan adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kongres ini juga memutuskan bahawa tulisan Rumi dan Jawi hendaklah digunakan dalam persuratan Melayu pada masa tersebut sehingga keputusan lain dibuat kemudiannya kelak.

Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Kedua yang diadakan pada 1 dan 2  Januari 1954 diadakan di Sekolah King George, Seremban.

Pada bulan Mac 1954, ASAS 50 telah mengemukakan memorandum kepada kerajaan mengenai tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu.
Perjuangan ASAS 50 mempertahankan Bahasa Melayu diteruskan apabila mereka mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan yang menyentuh soal kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar umum dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah hinggalah ke peringkat universiti pada 15 Disember 1954.

Kongres bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang diadakan pada 16 hingga 21 September 1956 di Johor Bahru dan Singapura dihadiri lebih kurang 500 orang perwakilan dan pemerhati dari 59 buah badan bahasa dan persuratan Melayu seluruh negara.

Pada hari 22 Jun 1956 Dewan Bahasa dan Pustaka telah ditubuhkan   ditempatkan di sebuah Bangunan Kerajaan di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor.

Pada bulan September 1956 apabila Persekutuan Tanah Melayu diberikan taraf pemerintahan sendiri, sebuah jawatankuasa  ditubuhkan
 dinamai Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 atau dikenali sebagai Penyata Razak 1956
merupakan titik tolak penting dalam perjuangan Bahasa Melayu sebelum merdeka yang dengan jelas memperakukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Era selepas merdeka bermula selepas 31 Ogos 1957 hinggalah tahun 1967. Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu melalui peruntukan undang-undang yang terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan dengan jelas bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

Faktor pemilihan Bahasa Melayu ialah:
 pertama, Bahasa Melayu mempunyai jumlah penutur yang terbesar di negara ini;
kedua, ialah Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bersifat pribumi bagi negara ini;
ketiga, ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi sudah sekian lama berjalan dan ini tidak akan menimbulkan masalah bagi komunikasi umum;
dan akhirnya, Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa pentadbiran di negeri Melayu.

Perkara yang paling penting pada era ini ialah peranan yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
 Pada tahun 1959, DBP berubah tarafnya daripada jabatan kerajaan kepada badan berkanun apabila Parlimen meluluskan  Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gerakan penggunaan bahasa bahasa dilakukan di seluruh negara tiap-tiap tahun selama tujuh tahun dari 1960-1966. Pada 30 Januari 1960,  Minggu Bahasa Kebangsaan dilancarkan buat pertama kalinya di seluruh negara yang berlangsung hingga 6 Februari, 1961.

Pada 15 April 1962, satu seminar mengenai bahasa dan sastera telah diadakan di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Pada 11 April 1963, satu akta yang berkaitan khusus dengan bahasa kebangsaan, iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963 telah diluluskan dan dikuatkuasakan.
 Selepas 10 tahun merdeka, iaitu pada tahun 1967, Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah diluluskan dan mula dikuatkuasakan pada 1 September 1967.
Akta ini kemudiannya disemak dan disatukan dengan Akta Bahasa kebangsaan 1963 dan berkuatkuasa pada 1 Julai 1971 dengan nama Akta Bahasa Kebangsaan, 1963 (Pindaan 1967).

Pada 27 Jun 1967 satu keputusan muktamad mengenai satu sistem ejaan baru yang ilmiah, praktikal serta sesuai untuk Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia telah dicapai.

Pada 1 September 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara
Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dapat dilihat berdasarkan zaman atau era yang berikut,
iaitu zaman pramerdeka (sebelum 1957), zaman pascamerdeka (1957-1970), dan  zaman dasar ekonomi baru (1971-1990). 

Laporan Barnes 1951 – menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu;

Laporan Fenn-Wu 1951 – menyemak pendidikan kaum Cina

Ordinan Pelajaran 1952 – mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan

Laporan Razak 1956 – meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah.

Pelan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu menyebabkan Laporan Razak 1956 dikaji semula oleh Jawatankuasa Rahman Talib 1960. Laporan ini menjadi asas kepada penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua pelajar.

Jawatankuasa ini  mencadangkan supaya bahasa kebangsaan diajar mulai Darjah Satu dalam semua sekolah rendah Cina, Tamil, dan Inggeris sama ada bantuan separuh atau sekolah persendirian. Jawatankuasa ini juga mencadangkan supaya Bahasa Melayu dimajukan dengan menjadikannya bahasa pengantar di semua sekolah yang dahulunya sekolah rendah kerajaan.

Pada tahun 1979, semakan semula pelaksanaan dasar pendidikan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979 telah menggariskan cadangan pendekatan dan strategi baru untuk memantap sistem pendidikan.

Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar bagi kursus-kursus peringkat awal di maktab perguruan sejak tahun 1957.
Pada tahun 1973, Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar tunggal dalam latihan perguruan.

 1980, Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar lengkap untuk Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah menengah.
 Pelaksanaannya di Tingkatan Enam Rendah bermula pada tahun 1981 dan Tingkatan Enam Atas pada tahun 1982.

1983 Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar sepenuhnya di universiti dan semua pengajian jurusan sastera pada tahun pertama diajar dalam Bahasa Melayu

No comments:

Post a Comment