Thursday, February 13, 2014

PANTUN DAN MASYARAKAT MELAYU LAMA



1.0 Pengenalan
Corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada zaman dahulu dicerminkan melalui pantun. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu Mengarang Melayu (1965: 219), mengatakan bahawa penciptaan pantun merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Umum menyatakan bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989: 122).
Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam iaitu alam tumbuhan, alam haiwan dan alam cakerawala.  Masyarakat pada masa tersebut  selalu berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah (1989: 115) menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang daripada alam perlu diketahui untuk memahami maksud pantun. Justeru, pantun  sering dikaitkan dengan alam semulajadi sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran dan nasihat.
Pantun dapat berfungsi dalam hampir setiap aktiviti kehidupan masyarakat Melayu
 (Jamilah Hj. Ahmad, 1993: 114). Terdapat pelbagai jenis pantun yang mempunyai tema tertentu iaitu berkait rapat dengan perasaan cinta, kasih sayang, puji-pujian, nasihat, agama, adat, telatah dan corak hidup masyarakat. Tema yang ingin diketengahkan, disisipkan dengan latar alam. Oleh sebab alam itu indah, maka unsur-unsur alam diaplikasikan di dalam setiap rangkap pantun yang disampaikan atau dicipta. Segala pengalaman hidup, pandangan hidup dan falsafah  yang terdapat dalam  pantun menggunakan latar alam. Unsur-unsur sedemikian secara tidak langsung memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam semulajadi.




2.0       Definisi Pantun
Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.
Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.
Pantun merupakan satu khazanah bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu. Penyusunan pantun yang diolah dengan rapi dan disusun indah mengandungi seribu satu maksud yang amat mendalam, yang menjadi wadah dalam menyampaikan nasihat, sindiran, gurauan dan luahan perasaan. Setiap lagu dan ungkapan yang digunakan bukan sahaja memperlihatkan irama yang indah, tetapi juga disusun denngan begitu teliti agar pemilihan perkataan yang digunakan dapat membayangkan corak pemikiran yang kritis. Masyarakat Melayu yang amat terkenal dengan budi bahasa dan budaya ketimuran yang mementingkan “air muka” dan adab sopan telah menjadikan pantun sebagai alat kritik sosial yang amat berkesan. Penggunaan pantun sebagai satu alat kritik sosial mencerminkan satu bentuk ketekalan minda yang dimiliki oleh masyarakat Melayu yang tidak mungkin ditelan zaman.
Sesunggunhnya jelaslah bahawa pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.

3.0 Kaitan Pantun dengan  Cerminan Masyarakat Melayu Lama
Pantun Melayu  Lama merupakan cerminan atau pantulan survival masyarakat melayu lama.Berikut adalah contoh pantun yang memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam semulajadi:
Buah cempedak di luar pagar,
      Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baharu belajar,
      Kalau salah tolong tunjukkan.
Penggunaan unsur  alam semulajadi seperti cempedak digandingkan dengan galah yang menjadi alat kebiasaan digunakan untuk menjolok buah-buahan. Pemilihan kata untuk kedua-dua baris pembayang dihasilkan dengan teliti sehinggakan dengan hanya menyebutnya sahaja, khalayak dapat mengetahui dan memahami bahagian maksud yang diujarkan pada baris ketiga dan keempat. Misalnya dengan hanya menyebut:
Buah Cempedak di luar pagar,
   Ambil galah tolong jolokkan;
Dalam pantun ini secara tidak langsung  mempamerkan unsur-unsur menyedari akan kelemahan dan kekurangan diri dengan harapan memohon bantuan daripada pihak lain yang lebih berkemampuan. Buah cempedak sepertimana lazimnya, bercambah dari pangkal pokok hinggalah ke dahan yang tinggi. Buah yang berada di bahagian luar pagar sudah pasti tumbuh pada bahagian yang tinggi sehingga sukar untuk dicapai menggunakan tangan. Apatah lagi sekiranya buah tersebut berada di halaman orang lain, maka perlu meminta keizinan terlebih dahulu untuk mengambilnya. Bantuan yang diminta bukan dengan tangan kosong tetapi dengan huluran galah untuk memudahkan orang yang menolong itu melaksanakannya.
Falsafah yang tersirat di sebalik pantun tersebut secara tidak langsung membawa amanat tentang kepentingan  mempunyai sifat merendah diri. Selain itu, pantun tersebut memancarkan pemikiran masyarakat Melayu lama yang amat menekankan aspek kesantunan dan budi bahasa dalam kehidupan seharian. Menurut Harun Mat Piah, 1989: 469, budi adalah berhubung erat dengan jasa kerana jasa adalah berbudi .Adalah sinonim seseorang individu dapat dianggap membuat jasa jika dia  seorang yang berbudi. Ini adalah bertepatan dengan  ajaran Islam yang menekankan hubungan baik antara sesama manusia.

klik di sini

http://teksceritabm.blogspot.com/