Sunday, May 27, 2012

bahasa melayu klasik


BAHASA MELAYU KLASIK

Menurut Awang Sariyan, Bahasa Melayu Klasik merupakan tahap ketiga dalam periodisasi Bahasa Melayu, sesudah Bahasa Melayu Purba dan Bahasa Melayu Kuno. 
Bahasa Melayu Klasik dikatakan bermula pada abad ke-13 dan berakhir pada abad ke-19.
 Bahasa Melayu Klasik ini diasaskan semasa  kerajaan Samudera-Pasai  di bawah Sultan Malikul Salih.  Bahasa ini merupakan kesan langsung kedatangan agama Islam dan kebudayaan Islam.
Zaman permulaannya ditandai dengan kemunculan prasasti Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi.
Bahasa Melayu Klasik muncul dengan wujudnya tulisan Jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu pada awal abad ke-14.
Prasasti Bahasa Melayu Klasik banyak terdapat di semenanjung Tanah Melayu seperti di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah dan beberapa tempat lain.
Prasasti ini juga ditemui di Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.
 
Bahasa Melayu Klasik ini dapat dibuktikan dengan penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat Minye Tujuh, Aceh (1390), iaitu batu bersurat pertama yang ditemui penggunaan kata-kata Arab seperti khalifah, nabi-nabi, Allah dan rahmat.
 Batu bersurat Pagar Ruyung pula mempunyai sedikit perbezaan dengan batu bersurat abad ke-7, iaitu dari segi bahasanya.
 Bahasa Melayu Klasik dikatakan mengalami zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Melaka, Aceh dan Johor Riau
Kemunculan Bahasa Melayu Klasik ini juga ditemui dalam manuskrip Melayu Lama. Terdapat kira-kira 10,000 naskhah manuskrip Melayu lama ini tersimpan di beberapa buah negara terutamanya di Barat. Manuskrip Melayu lama yang tertua ialah surat kiriman Sultan Ternate, dari kepulauan Maluku kepada Raja Portugis yang bertarikh tahun 1521 dan 1522.
Dari segi fonologi, sistemnya tidak dapat ditentukan kerana tiada data lisan.
 Namun demikian dapat diandaikan bahawa Bahasa Melayu Klasik mempunyai enam bunyi vokal sebagaimana yang terdapat dalam Bahasa Melayu, iaitu ‘a’, ‘e’ pepet, ‘e’ taling, ‘i’, ‘o’, dan ‘u’.
 Dari segi bunyi konsonan pula, dapat diandaikan bahawa bunyi konsonan Bahasa Melayu Klasik  sama dengan yang terdapat dalam Bahasa Melayu Moden.
Pelambangan bunyi getaran alveolar ‘r’ yang jelas menggunakan  huruf “ra” dalam bahasa Arab. Penggunaan ini pada hujung suku kata akhir tertutup menggambarkan bahawa bunyi getaran alveolar itu hidup dan tidak senyap dalam bahasa lisan klasik.
 Bunyi diftong pula memperlihatkan persamaan dengan bunyi diftong dalam Bahasa Melayu Moden, iaitu ‘ai’, ‘au’ dan ‘oi’.

segi sintaksis, ayat dalam bahasa ini memanfaatkan empat pola ayat dasar, iaitu ayat tunggal, ayat majmuk yang sama rumusannya dengan Bahasa Melayu Moden, ayat kompleks dan ayat pasif.

Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik ialah

v  Ayat yang panjang dan berbelit-belit

v  Banyak ayat pasif

v  Menggunakan bahasa istana

v  Kosa kata klasik seperti ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul dan sebagainya

v  Banyak menggunakan kata pangkal ayat atau perdu perkataan seperti sebermula, alkisah, hatta, adapun dan sebagainya

Penggunaan ayat songsang dan banyak menggunakan partikel ‘pun’ dan ‘lah’
penggunaan penanda bermula, hatta, syahadan, kalakian dan seumpamanya.

Gaya Bahasa Melayu Klasik pula memperlihatkan gaya yang tersendiri. Gaya Bahasa Melayu Klasik kelihatan pada ayat kompleks, ayat pasif dan ayat songsang.
Hal ini disebabkan oleh pengaruh bahasa Arab dan lenggoknya yang jelas kelihatan kearab-araban.
Selain daripada itu, bunga bahasanya juga menggambarkan kehalusan dan daya cipta berseni karyawan pada zaman tersebut. Bahasa Melayu Klasik bertunjangkan sistem tulisan Jawi yang berasaskan aksara Arab.
 Sistem tulisan ini merupakan alat yang meluaskan penyebaran dalam bahasa persuratan di Alam Melayu
Bahasa Melayu Klasik jelas banyak digunakan dalam penulisan agama khususnya bidang tauhid atau usuluddin, syariah atau undang-undang Islam, dan tasawuf. 
Karya agama yang tertua dihasilkan dalam Bahasa Melayu Klasik ialah ‘Aqai’id al-Nasafi.
 Kitab ini membicarakan tentang hakikat kejadian benda, kemungkinan ilmu, punca ilmu, keobjektifan ilmu, teori cakerawala, hakikat Tuhan dan diri manusia

Tokoh-tokoh lain yang terkenal ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin Pasai atau Syamsudin al-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel. 

Dari segi sejarah, Bahasa Melayu Klasik mempunyai kesignifikanannya tersendiri. Bahasa ini dikatakan sebagai titik bermulanya Bahasa Melayu Moden.  

No comments:

Post a Comment