Fungsi Kesusasteraan
Semua karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh pengarang adalah untuk bacaan pembaca atau masyarakat. Karya dan pembaca saling memerlukan dan lengkap melengkapi. Apa jua karya yang tidak mendapat sambutan pembaca dianggap tidak berjaya. Oleh itu, dapatlah disimpulkan kumpulan sasaran sesebuah karya ialah khalayak. Sehubungan itu, pengarang menetapkan tujuan sebelum menulis. Di sinilah bermulanya penelitian tentang peranan dan fungsi kesusasteraan kepada khalayak. Namun begitu, fungsi itu dilihat daripada dua sudut, iaitu fungsi sastera kepada khalayak dan fungsi sastera kepada pengarang. Ditinjau daripada sudut pertama, peranan dan fungsi sastera kepada khalayak dan pembaca adalah sebagai alat yang digunakan untuk mengajar, mendidik, dan menghibur. Mengajar ialah satu proses menyampaikan pengetahuan. Dengan ilmu yang dipelajari dan difahami, manusia mengetahui apa-apa yang ia tidak tahu.
Pengetahuan tidak bererti jika tidak diamalkan. Pada peringkat ini, pendidikan memainkan peranannya. Mendidik bermaksud menjaga dan melatih. Penjagaan dan latihan akan mewujudkan kebiasaan, berkembang menjadi adat, membentuk sifat ( keperibadian), melahirkan kemahuan dan akhirnya menggerakkan laku perbuatan selaras dengan perkara yang didik.
Melalui cerita Nakhoda Tanggang, khalayak diajar supaya tidak menderhaka kepada ibu kerana perbuatan itu dilaknati Allah. Kesannya amat mengerikan. Si Tanggang menjadi batu. Pengetahuan tentang perkara ini akan tinggal menjadi ‘gajah putih’ seandainya tidak dipratikkan atau diyakini. Demikianlah pentingnya pendidikan untuk menangani pelbagai masalah sosial. Orang yang tidak terdidiklah yang cenderung melakukan perbuatan salah. Di samping mengajar dan mendidik, karya sastera juga berfungsi untuk memberi hiburan. Menghibur bertujuan untuk menenangkan atau menggirangkan hati.
Dapat disimpulkan bahawa kesusasteraan memberi pengetahuan, menyemai niali-nilai murni untuk diteladani dan dipratikkan dalam kehidupan seharian, memberi ketenangan, dan kerehatan fikiran setelah penat bekerja, serta memberi kepuasan setelah menikmati keindahan karya seni.
Ditinjau daripada sudut kedua pula, usaha para pengarang menghasilkan pelbagai karya boleh dianggap sebagai perbuatan yang luar biasa. Sebagai manusia yang peka, sudah tentulah seseorang pengarang itu berkarya untuk memenuhi tututan tertentu. Pada hakikatnya, pengarang menjadikan karyanya sebagai alat untuk mendapatkan kepuasan serta keseronokan, memperbaiki dan menajamkan pemikirannya, berbakti kepada masyarakat dan menyara kehidupannya.
No comments:
Post a Comment