Friday, December 17, 2010

SEJARAH KEDATANGAN BAHASA SANSKRIT

Sejarah Kedatangan Bahasa Sanskrit
Bahasa Melayu telah menerima pengaruh bahasa Sanskrit  sejak zaman pra sejarah lagi  lantaran daripada hubungan yang terjalin berabad-abad lamanya antara Kepulauan Melayu dengan India dari segi hubungan perdagangan dan kebudayaan.  Ini menyebabkan beratus-ratus kata Sanskrit diresap masuk ke dalam bahasa Melayu. Kedatangan pedagang India selain daripada membawa barang dagangan juga turut membawa kebudayaan India ke Kepulauan Melayu. Pertembungan antara dua budaya menyebabkan pertembungan bahasa. Di samping itu sami Hindu dan Budha juga turut menyebarkan bahasa Sanskrit  menerusi ajaran agama yang baharu kepada penduduk di wilayah Kepulauan Melayu. Hubungan dua hala antara India dengan Kepulauan  Melayu menyebabkan bahasa Sanskrit diresap dalam pelbagai bidang.
Pengaruh Sanskrit ini terbahagi kepada dua iaitu pengaruh langsung dan pengaruh tidak langsung. Pengaruh langsung iaitu apabila istilah daripada bahasa Sanskrit diterima terus ke dalam kosa kata bahasa Melayu. Ini kerana istilah itu memang tiada langsung dalam bahasa Melayu atau istilah sedia ada tetapi digantikan dengan bahasa Sanskrit kerana lebih elok disebut atau lebih tinggi tarafnya atau istilah yang ada dalam bahasa Melayu tidak lengkap maksudnya. Pengaruh tidak langsung ialah penyesuaian yang dibuat daripada proses pinjaman itu. 
Pengaruh utama adalah dari segi kosa kata, imbuhan dan sistem bunyi. Banyak perkataan baru diterima masuk ke dalam bahasa Melayu. Kebanyakan Batu Bersurat yang ditemui menggunakan bahasa Sanskrit

kerana tidak cukup kata dalam bahasa Melayu kuno untuk menyatakan pengertian-pengertian asing serta kesediaan di kalangan tertentu untuk menggunakan bahasa asing yang dianggap lebih standard, lebih tinggi tarafnya dan kemuliaannya. 
Menurut Beg. terdapat 2000 perkataan Sanskrit yang wujud dalam bahasa Melayu. Za’ba pula mengatakan ada 388 perkataan Sanskrit dalam bahasa Melayu. Sungguhnpun begitu jika ditinjau kamus Melayu, mungkin lebih banyak jumlah perkataan Sanskrit  daripada jumlah yang dikatakan oleh Beg dan Za’ba. Antaranya ialah  dalam bidang keagamaan, perdagangan,pemerintahan,tumbuhan,dan haiwan.

No comments:

Post a Comment