Sunday, May 27, 2012

BAHASA MELAYU ZAMAN KEDATANGAN PORTUGIS


BAHASA MELAYU ZAMAN KEDATANGAN PORTUGIS

Era kedatangan Barat ke tanah Melayu bermula dengan bertapaknya kuasa Portugis di Melaka dengan kejatuhan kesultanan Melaka pada tahun 1511. 
Penjajahan Barat pada abad ke-19 dan awal abad ke-20 di wilayah kebudayaan Melayu di Asia Tenggara telah mencetuskan pelbagai jenis penentangan oleh bangsa Melayu terhadap penjajahan.
 Namun begitu, keruntuhan kerajaan Melayu Melaka tidak meruntuhkan Bahasa Melayu. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521.
 Dokumen ini  merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan merupakan daftar kata Melayu-Eropah yang tertua
  Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592  mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

Penulisan tentang Bahasa Melayu yang penting pada zaman ini ialah daftar kata Pigafetta  yang merakamkan perbualan Magellan dengan lelaki Melayu beragama Kristian bernama Hendrick. Pertuturan yang disalin adalah berdasarkan ejaan Itali. Beliau telah berjaya mengumpulkan 426 perkataan dan rangkai kata Bahasa Melayu.
Senarai ini kemudiannya disusun semula oleh Alessandrio Bausani dan dijadikan buku Perbendaharaan kata Itali-Melayu yang pertama.

Sarjana Barat yang berusaha mengembangkan Bahasa Melayu ialah Casper Wittens yang menyusun kamus Bahasa Melayu-Belanda dan diperbaiki oleh Sebastian Danckaerts dan diterbitkan oleh Gravenhaghe pada tahun 1623 Masihi dan di Batavia pada tahun 1707 Masihi.
 Kamus ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh David Haex dan diterbitkan di Rom pada tahun 1631 Masihi.

Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis mengenai wilayah kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut, “bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.” 

Thomas Bowrey menyusun kamus Inggeris-Melayu pada tahun 1701 Masihi dengan mengemukakan sedikit peraturan nahu. Kamus ini mencatat semua perkataan yang diingatinya (daripada bahasa lisan) sehingga berlaku banyak kesalahan ejaan. 
M. John Howison menyusun kamus Inggeris-Melayu pada tahun 1801 dan P. Farve menyusun kamus Perancis-Melayu pada tahun 1871 Masihi.  

Zaman kedatangan Portugis merupakan detik permulaan pengaruh bangsa Eropah kepada bahasa dan kebudayaan Melayu. 
Pengaruh Barat yang paling banyak mempengaruhi Bahasa Melayu ialah kedatangan kuasa Inggeris pada awal abad ke-19. 
Pengaruh ini masih lagi kelihatan khususnya dalam perkembangan ilmu Bahasa Melayu dan perkembangan peristilahan dalam pelbagai bidang.

1 BAHASA MELAYU ZAMAN KEDATANGAN ISLAM



Islam telah membawa huruf Arab dalam penulisan Bahasa Melayu , berkembang menjadi bahasa yang kaya dengan pelbagai istilah baharu yang dipinjam daripada perbendaharaan kata Bahasa Arab dan Parsi.  Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam penulisan yang berkaitan dengan falsafah, kesusasteraan, keagamaan dan dijadikan bahasa pengantar dalam kegiatan dakwah Islam.
Magellan telah mengatakan bahawa Bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua franca di alam Melayu dari Aceh hingga ke kepulauan Maluku. Bahasa Melayu juga telah menjadi baku melalui penggunaannya dalam kitab-kitab agama Islam yang dibaca oleh penduduk di alam Melayu.

Pada zaman kedatangan Islam juga, Bahasa Melayu telah berkembang dalam pelbagai bidang yang sebelum ini ditulis dalam bahasa Jawa. 
Melalui peminjaman daripada Bahasa Arab, banyak istilah bidang teologi, falsafah dan tasawuf dikembangkan dalam Bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam kerajaan-kerajaan di alam Melayu. 
Surat-surat raja Melayu pada abad ke-16 ditulis dalam Bahasa Melayu kepada Raja Portugis. Dengan demikian raja-raja daripada kerajaan Aceh juga menggunakan Bahasa Melayu dalam urusan diplomatik untuk berhubung dengan kerajaan asing.

Kedatangan Islam pada akhir abad ke-13 telah mempengaruhi keseluruhan cara hidup masyarakat di Asia Tenggara khususnya alam Melayu.
 Zaman ini telah  memberikan ciri baru kepada Bahasa Melayu, iaitu bentuk Bahasa Melayu Klasik. Pengaruh agama Islam bukan sahaja kelihatan dari aspek sosio budaya malah seluruh kehidupan termasuklah unsur budaya yang penting, iaitu bahasa.

Abad ke-13 hingga abad ke-14 merupakan zaman peralihan di alam Melayu. 
Tiga buah kerajaan Islam yang penting: kerajaan Samudera-Pasai,  kerajaan kesultanan Melaka dan kerajaan Islam Aceh. Kerajaan Samudera-Pasai

Menurut Amat Juhari Moain (1994), apabila kerajaan Samudera-Pasai didirikan di Sumatera Utara, pengembangan Bahasa Melayu semakin aktif. Kerajaan Samudera Pasai  dikenali juga sebagai Samudera, Pasai dan Samudera Darussalam atau Sumatera.
 Kerajaan ini terletak di Aceh dan merupakan kerajaan Islam pertama di Indonesia. 
Perkataan "Samudera" berasal daripada perkataan Sanskrit, iaitu Samundra , yang membawa maksud  "lautan".
 Menurut Hikayat Raja-raja Pasai, Merah Silu dikatakan ternampak seekor semut sebesar kucing. Baginda menangkap dan memakannya lalu menamai tempat itu sebagai "Samandara".  Kesultanan Samudera Pasai adalah kerajaan Islam yang terletak di pesisir pantai utara Sumatera, kurang lebih di sekitar Kota Lhokseumawe, Aceh Utara sekarang.
 Kerajaan ini didirikan oleh Merah Silu, yang bergelar Malik al-Saleh, pada sekitar tahun 1267 dan berakhir dengan dikuasai oleh Portugis pada tahun 1521.
 Nama lainnya ialah Malik al Salih, Merah Silu, Merah Silau, Mara Silu dan Muerah Silu. Setelah mangkat, baginda digantikan oleh Sultan Mahmud Malik Az-Zahir.


================ctsha===============
















bahasa melayu klasik


BAHASA MELAYU KLASIK

Menurut Awang Sariyan, Bahasa Melayu Klasik merupakan tahap ketiga dalam periodisasi Bahasa Melayu, sesudah Bahasa Melayu Purba dan Bahasa Melayu Kuno. 
Bahasa Melayu Klasik dikatakan bermula pada abad ke-13 dan berakhir pada abad ke-19.
 Bahasa Melayu Klasik ini diasaskan semasa  kerajaan Samudera-Pasai  di bawah Sultan Malikul Salih.  Bahasa ini merupakan kesan langsung kedatangan agama Islam dan kebudayaan Islam.
Zaman permulaannya ditandai dengan kemunculan prasasti Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan dengan 1303 Masihi.
Bahasa Melayu Klasik muncul dengan wujudnya tulisan Jawi, iaitu tulisan Arab berbahasa Melayu pada awal abad ke-14.
Prasasti Bahasa Melayu Klasik banyak terdapat di semenanjung Tanah Melayu seperti di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah dan beberapa tempat lain.
Prasasti ini juga ditemui di Sumatera Selatan, Jambi, Riau, Sumatera Barat, Sumatera Utara dan Aceh.
 
Bahasa Melayu Klasik ini dapat dibuktikan dengan penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat Minye Tujuh, Aceh (1390), iaitu batu bersurat pertama yang ditemui penggunaan kata-kata Arab seperti khalifah, nabi-nabi, Allah dan rahmat.
 Batu bersurat Pagar Ruyung pula mempunyai sedikit perbezaan dengan batu bersurat abad ke-7, iaitu dari segi bahasanya.
 Bahasa Melayu Klasik dikatakan mengalami zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Melaka, Aceh dan Johor Riau
Kemunculan Bahasa Melayu Klasik ini juga ditemui dalam manuskrip Melayu Lama. Terdapat kira-kira 10,000 naskhah manuskrip Melayu lama ini tersimpan di beberapa buah negara terutamanya di Barat. Manuskrip Melayu lama yang tertua ialah surat kiriman Sultan Ternate, dari kepulauan Maluku kepada Raja Portugis yang bertarikh tahun 1521 dan 1522.
Dari segi fonologi, sistemnya tidak dapat ditentukan kerana tiada data lisan.
 Namun demikian dapat diandaikan bahawa Bahasa Melayu Klasik mempunyai enam bunyi vokal sebagaimana yang terdapat dalam Bahasa Melayu, iaitu ‘a’, ‘e’ pepet, ‘e’ taling, ‘i’, ‘o’, dan ‘u’.
 Dari segi bunyi konsonan pula, dapat diandaikan bahawa bunyi konsonan Bahasa Melayu Klasik  sama dengan yang terdapat dalam Bahasa Melayu Moden.
Pelambangan bunyi getaran alveolar ‘r’ yang jelas menggunakan  huruf “ra” dalam bahasa Arab. Penggunaan ini pada hujung suku kata akhir tertutup menggambarkan bahawa bunyi getaran alveolar itu hidup dan tidak senyap dalam bahasa lisan klasik.
 Bunyi diftong pula memperlihatkan persamaan dengan bunyi diftong dalam Bahasa Melayu Moden, iaitu ‘ai’, ‘au’ dan ‘oi’.

segi sintaksis, ayat dalam bahasa ini memanfaatkan empat pola ayat dasar, iaitu ayat tunggal, ayat majmuk yang sama rumusannya dengan Bahasa Melayu Moden, ayat kompleks dan ayat pasif.

Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik ialah

v  Ayat yang panjang dan berbelit-belit

v  Banyak ayat pasif

v  Menggunakan bahasa istana

v  Kosa kata klasik seperti ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul dan sebagainya

v  Banyak menggunakan kata pangkal ayat atau perdu perkataan seperti sebermula, alkisah, hatta, adapun dan sebagainya

Penggunaan ayat songsang dan banyak menggunakan partikel ‘pun’ dan ‘lah’
penggunaan penanda bermula, hatta, syahadan, kalakian dan seumpamanya.

Gaya Bahasa Melayu Klasik pula memperlihatkan gaya yang tersendiri. Gaya Bahasa Melayu Klasik kelihatan pada ayat kompleks, ayat pasif dan ayat songsang.
Hal ini disebabkan oleh pengaruh bahasa Arab dan lenggoknya yang jelas kelihatan kearab-araban.
Selain daripada itu, bunga bahasanya juga menggambarkan kehalusan dan daya cipta berseni karyawan pada zaman tersebut. Bahasa Melayu Klasik bertunjangkan sistem tulisan Jawi yang berasaskan aksara Arab.
 Sistem tulisan ini merupakan alat yang meluaskan penyebaran dalam bahasa persuratan di Alam Melayu
Bahasa Melayu Klasik jelas banyak digunakan dalam penulisan agama khususnya bidang tauhid atau usuluddin, syariah atau undang-undang Islam, dan tasawuf. 
Karya agama yang tertua dihasilkan dalam Bahasa Melayu Klasik ialah ‘Aqai’id al-Nasafi.
 Kitab ini membicarakan tentang hakikat kejadian benda, kemungkinan ilmu, punca ilmu, keobjektifan ilmu, teori cakerawala, hakikat Tuhan dan diri manusia

Tokoh-tokoh lain yang terkenal ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin Pasai atau Syamsudin al-Sumaterani dan Abdul Rauf Singkel. 

Dari segi sejarah, Bahasa Melayu Klasik mempunyai kesignifikanannya tersendiri. Bahasa ini dikatakan sebagai titik bermulanya Bahasa Melayu Moden.  

Nota Bahasa Melayu Kuno


BAHASA MELAYU KUNO

Bahasa Melayu Kuno dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit dikatakan banyak mempengaruhi kosa kata dalam Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu Kuno melalui zaman kegemilangannya semasa berada di bawah kerajaan Sriwijaya,  abad ke-7 hingga abad ke-13.
 Kegemilangannya terbukti apabila Bahasa Melayu mampu menjadi lingua franca  dan bahasa pemerintah.
 Kewujudan bahasa ini dibuktikan melalui penemuan-penemuan batu-batu bersurat seperti
batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683SM);
 batu bersurat di Talang Tuwo, dekat Palembang (684M);
 batu bersurat di Kota Kapur, Pulau Bangka (686M);
batu bersurat di Karang Brahi, Jambi (686M).
  Batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832M) ialah batu bersurat yang pertama ditemui menerima pengaruh tulisan Nagiri.

Rumpun ini merupakan keluarga bahasa Nusantara dan berkembang dari abad ke-7 hingga abad ke-13 sebagai bahasa pentadbiran dan bahasa lingua franca.
 Penuturnya terdapat di semenanjung Tanah Melayu, kepulauan Riau dan Sumatera.  Kepentingannya sebagai bahasa lingua franca kerana  :
v  sifatnya sederhana dan mudah menerima pengaruh asing,
v  tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat mempunyai sistem mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
v  banyak dipengaruhi oleh sistem Bahasa Sanskrit
v  Pengaruh Sanskrit kuat akibat kaitannya dengan agama Hindu,
v  kedudukannya sebagai bahasa golongan bangsawan
v   dan hirarkinya yang tinggi.
Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno dapat dilihat berdasarkan butiran yang berikut:


  • Banyak kata-kata pinjaman Sanskrit  
  • Susunan ayat bersifat Melayu  
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu Kuno (Contoh: bulan - wulan)  
  • Bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)  
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu Kuno (contoh: berlepas-marlapas) 
  • Awalan di- ialah ni- dalam Bahasa Melayu Kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat) 
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)

Tulisan BM Kuno
v  merupakan tulisan yang berasal dari India seperti Devanagiri dan Pallava.
v  Tulisan ini dikatakan pengaruh tulisan India seperti Jawa Kuno dan tulisan Kawi
v  Ini didapati pada prasasti dengan banyaknya pengaruh kata pinjaman Sanskrit yang berkait rapat dengan pengaruh kebudayaan India dan agama Hindu. 
v  Bahasa Melayu Kuno tidak mempunyai pengaruh Bahasa Arab baik dari segi kosa kata atau tulisan.  

Friday, May 25, 2012

membuat brosur mudah

membuat brosur mudah dengan menggunakan Mic. Publisher...senang , cepat dan ringkas.






BAGAIMANAKAH ASPEK KEBUDAYAAN MAMPU MEMBENTUK JATI DIRI SESEBUAH NEGARA?
Di Malaysia, kita mempercayai dan meyakini bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara sebagai satu-satunya bahasa pengantar utama, adalah kaedah terbaik untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum .

PERANAN BAHASA MELAYU

1) Asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat 
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memainkan peranan penting menjadikan Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara.
 Perkara 152 ini telah mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Perkara ini termaktub dalam Perkara 152 (1). Hal ini disebabkan menjadi satu kepentingan bahawa negara ini mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan sangat memerlukan satu bahasa sebagai panduan. Bahasa ini pula boleh difahami oleh setiap kaum. Lagipun peruntukan ini adalah berdasarkan penduduk asal di Malaysia iaitu orang Melayu yang memonopoli lebih daripada 50 peratus penduduknya. Oleh yang demikian, dengan termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas yang kukuh untuk membina sebuah negara.

2) Lambang jati diri
Bahasa Melayu mempunyai lambang, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri.   bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.
3) Bahasa perpaduan
Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan sangatlah penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar-kacir dan musnahlah sebuah negara beraulat. Di Malaysia ini, terapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana bahasa ini menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum.
Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan anatara penduduk yang berbilang kaum.

Saturday, May 19, 2012

Pengaruh bahasa Cina/Tamil dll dalam bahasa Melayu


                    Bahasa Cina
 Sejarah dan Kosa kata
Kata pinjaman dalam bahasa Melayu kebanyakannya diserap daripada bahasa Hokien Selatan iaitu Fujian Selatan. Orang Hokien ialah bangsa Cina yang awal datang ke Tanah Melayu. Kosa kata bahasa Cina banyak diserap ke dalam bahasa Melayu menerusi perhubungan mereka dengan masyarakat tempatan. Perkataan pinjaman daripada bahasa Cina meliputi perkataan yang berkaitan dengan makanan,adat-istiadat,sistem panggilan,peralatan,permainan dan kebudayaan. Antara kata pinjaman bahasa Cina dalam bahasa Melayu ialah:
Bidang
Bahasa Melayu
Bahasa  Cina
Sayur-sayuran, Buah-buahan dan Makanan
bihun
kailan
kuaci
kuetiau
bihun
kailan
ku atsi
kuetio
Pakaian dan Barang Dagangan
ceongsam
gincu
hun
tsong sam
gun tsu
hun
Peralatan
teko
pangkeng
loteng
te-ko
pang-king
lao-ting
Manusia dan Budaya
gua
angpau
lu
gua
angpo
lu
Permainan
pakau
ceki
pakau
tsit ki
Kenderaan
sampan
beca
sam-pan
be tsia

                 Bahasa Jawa
 Sejarah dan Kosa Kata
Penyebaran bahasa Jawa ke dalam bahasa Melayu berlaku melalui pelbagai  cara. Antaranya ialah melalui pengaruh kerajaan  Jawa, Majapahit dan Mataram di Kepulauan Melayu.  Semasa keagungan kerajaan Jawa, bahasa Jawa telah digunakan sebagai bahasa pertuturan oleh sebilangan besar penduduk di Kepulauan Melayu. Elemen-elemen Jawa juga tersebar melalui buku-buku sastera seperti cerita  panji.
 Unsur-unsur jawa tersebar ke dalam bahasa Melayu menerusi
interaksi  orang-orang Jawa dengan penduduk Semenanjung Tanah Melayu  semasa penghijrahan mereka  ke sini.
Antara kosa kata Jawa yang masih digunakan ialah perabot.lontong.lumrah,pinggir.lempeng.lurah,prihatin , gado-gado dan gemelan.

                   Bahasa Parsi Dan Tamil
           Sejarah dan Kosa Kata
Perbendaharaan Kata Parsi dan Tamil juga  diserap ke dalam bahasa Melayu melalui interaksi dengan penutur bahasa ini. Terdapat ramai penutur bahasa Parsi dan Tamil yang menetap di Kepulauan  Melayu dalam jangka masa yang lama. Kata pinjaman Parsi dan Tamil masih kekal  digunakan walaupun jumlah yang dipinjam tidak banyak. Bahasa Parsi dan Tamil ini juga meminjam bahasa lain seperti Yunani, Portugis, Inggeris dan bahasa-bahasa Timur. Justeru bahasa ini merupakan pinjaman atas pinjaman iaitu dipinjam daripada bahasa lain kemudian dipinjam ke bahasa Melayu.  Bahasa yang dipinjam meliputi pelbagai aspek seperti  barang-barang makanan,pakaian,peralatan rumah dan


barang-barang perdagangan. Berikut ialah kata pinjaman Parsi dan Tamil.
                 Kata      Pinjaman Parsi
     
Bahasa  Melayu
Bahasa Parsi
agar
anggur
badam
bazar
kurma
pahlawan
temasya
agar
angur
badam
bazar
khorma
pahlavan
tamasha

       Kata Pinjaman Tamil

Bahasa  Melayu
Bahasa Tamil
emak
ayah
kakak
canai
cerut
kedai
mempelam
mempelai
amma
appa
akkaa
caanai
currrutu
kadai
mampalam
maapillai

.
   Unsur Bahasa Jawa,Sunda,Bugis,Sumatera  (Bahasa Indonesia)
Pengaruh bahasa Indonesia ini diterima ke dalam bahasa Melayu melalui cerita-cerita panji,pengaruh kerajaan Jawa pada zaman silam,orang-orang


Malaysia yang berketurunan Indonesia, perancangan bahasa dan media massa.

Antara kosa kata pinjaman daripada bahasa Indonesia ialah
                 Sumatera : gadis,teliti,ragu dan teromba. 
   
Sebagai akibat daripada penjajahan, kemasukan unsur-unsur Barat dalam bidang morfologi dan sintaksis serta gaya dan cara pengungkapan bahasa Melayu telah dipengaruhi oleh bahasa Inggeris. Bahasa Melayu telah banyak menerima perkataan dan unsur bahasa lain yang banyak sama ada dari Barat ataupun Timur. Proses ini masih berterusan dan dianggap positif sebagai sumber yang mengembangkan bahasa Melayu sehingga kini. Walaupun bahasa Sanskrit dianggap sudah mati, namun sumbangan perkataan-perkataan Sanskrit telah banyak membantu membina dan meninggikan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa yang lengkap serta mencakupi semua bidang dalam arus globalisasi ini
 Kesimpulannya, pengaruh bahasa asing telah memperkayakan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Akibat pertembungan budaya bahasa asing itu dipinjam ke dalam bahasa Melayu. Hubungan dua hala menyebabkan kedua-dua bangsa itu saling mempengaruhi dan mengakibatkan kesan terhadap bahasa yang digunakannya.