1.0 Adat Resam Orang Melayu
Pendahuluan
Bangsa Melayu amat terkenal dengan
sifat lemah lembut dan sopan santunnya. Kehidupan sehari-hari sangat
dipengaruhi oleh persekitaran masyarakatnya. Situasi ini telah menjadi
amalan turun-temurun zaman-berzaman yang diwarisi dari nenek moyang mereka. Tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, begitulah amalan-amalan tertentu ini
tetap diamalkan walaupun arus kemodenan telah lama menyerapi kehidupan
masyarakat Melayu di negara kita ini.
Pepatah melayu "Biar mati anak,
jangan mati adat", merujuk kepada betapa pentingnya adat serta amalannya
dalam masyarakat melayu. . Kebanyakkan adat adalah juga merupakan
peraturan terhadap kehidupan sehari-harian, ia juga dipanggil ritual.
1.1 Adat
resam orang Melayu dapat dilihat pada tiga aspek kehidupan iaitu :
1.1.1 Adat Resam Kelahiran
I.
Melenggang perut
II.
Menyambut kelahiran
III.
Berpantang empat puluh hari
IV.
Mandi selepas pantang
V.
Berendoi
VI.
Bercukur jambul
VII.
Bersunat
VIII.
Bertindik
IX.
Berkhatam al-Quran
1.2.2
Adat
Resam Perkahwinan
II.
Merisik
III.
Meminag
IV.
Menghantar belanja
V.
Akad nikah
VI.
Berandam dan berasah gigi
VII.
Berina di pelamin
VIII.
Bersanding
IX.
Mandi-mandian atau berlimau
X.
Bertandang
1.2.3
Adat
Resam Kematian
1.3
Adat
Resam Kelahiran
i.
Melenggang
perut
Adat
melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di selatan
semenanjung. Di sebelah utara Semenanjung lebih dikenali dengan
panggilan kirim perut. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas
seorang isteri yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk
meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang sepatutnya, iaitu
bahagian kepala di pintu rahim. Bertujuan untuk memudahkan si ibu bersalin dan
bayi tidak kelemasan di dalam perut. Maka pada masa itu, bidan akan dipanggil
untuk memeriksa dan menentukan isteri yang hamil itu betul-betul telah genap
tujuh bulan hamil atau belum cukup bulan lagi. Jika didapati sudah genap tujuh
bulan isteri itu hamil, maka mulailah bidan itu diupah untuk melangsungkan adat
melenggang perut ini. Kelengkapan yang mustahak perlu disiapkan untuk
menjalankan adat ini. Antara kelengkapan tersebut disediakan adalah seperti
berikut:
• Tujuh helai kain yang
berlainan warna.
• Se gantang beras.
• Sebiji buah kelapa.
• Beberapa helai benang.
• Satu batang damar.
• Sedikit minyak kelapa atau
minyak urut.
• Beberapa batang lilin.
• Satu tepak sirih, yang lengkap
dengan isinya.
• Pengeras wang sebanyak lima
suku (RM1.25) di dalam tepak itu.
Setelah semua barang tersebut
disediakan, tok bidan akan menjalankan adat melenggang perut seperti berikut:
Pertamanya, tok
bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu secara melintang
sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di atas
lapisan-lapisan kain tersebut. Kemudian, perut nya akan disapu dengan
minyak kelapa atau minyak urut secara perlahan-lahan.
Selepas itu,
kelapa yang sudah dikupas tersebut akan diguling-gulingkan secara
perlahan-lahan di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali
dan pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta dibiarkan jatuh
bergolek daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh tok bidan itu. Tok
bidan akan memerhatikan bagaimana kedudukan muka atau mata kelapa itu setelah
berhenti bergolek. Sekiranya mata kelapa itu menghala ke atas, ibu itu akan beroleh
anak lelaki, dan jika ia menghala ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.
Setelah itu,
sebelah tangan tok bidan akan memegang satu hujung kain lapisan atas sekali dan
dengan tangannya yang sebelah lagi, dipegangnya hujung yang satu lagi. Kemudian
kain itu diangkatnya sedikit sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu itu. Dari
sinilah terbitnya panggilan Lenggang Perut itu. Selepas itu, kain itu ditarik
keluar daripada bawah badan ibu tersebut. Perbuatan ini akan dilakukan sehingga
habis ketujuh-tujuh helai kain itu dikeluarkan dari bawah pinggang ibu tersebut.
Kain yang di bawah sekali akan diberikan kepada tok bidan bersama-sama dengan
kelapa, beras, damar, sirih pinang beserta dengan wang pengeras lima suku di
dalam tepak sirih itu.
Biasanya, pada
hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri
oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu
berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut itu akan dipakaikan dengan
pakaian yang baru dan cantik.
ii. Menyambut kelahiran
Anak
adalah merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi setiap pasangan yang telah
mendirikan rumahtangga. Ini kerana di samping menceriakan suasana rumahtangga,
anak merupakan zuriat penyambung keturunan bagi sesebuah keluarga.
Biasanya,
seorang isteri akan mula menunjukkan tanda-tanda sedang mengandung apabila
berasa loya dan sering muntah-muntah. Pada waktu begini, isteri biasanya lebih
gemarkan makanan yang masam untuk mengurangkan rasa mual seperti memakan mangga
muda, mempelam mahupun asam atau jeruk. Bagi masyarakat Melayu, sebaik sahaja
berita gembira tersebut diketahui, si isteri akan dijaga bagai menatang minyak
yang penuh oleh suami dan ahli keluarganya yang lain, tambahan pula jika anak
yang dikandung adalah anak sulung atau dipanggil bunting sulung. Pada waktu
begini, si isteri biasanya akan mengalami perasaan pelik-pelik seperti
mengidam. Mengidam ialah keadaan di mana seseorang terlalu berkeinginan untuk
melakukan sesuatu atau makan sesuatu yang biasanya tidak pernah diminta sebelum
ini. Permintaan isteri tersebut adalah perlu ditunaikan oleh suami walau apa
jua rintangan dan halangan yang harus ditempuhi. Ini kerana dalam adat dan
kepercayaan Melayu, sesuatu yang buruk akan menimpa ibu dan anaknya jika apa
yang diidamkan tidak dapat dipenuhi.
Selain itu,
kedua-dua suami isteri haruslah menjaga adab dan kelakuan mereka sepanjang
tempoh isterinya mengandung. Ini adalah kerana dalam kepercayaan Melayu, wujud
keadaan mengenan atau kecacatan kepada sifat fizikal bayi sekiranya salah
seorang dari ibu bapanya melakukan penganiayaan terhadap haiwan atau
sebagainya. Fenomena sumbing dikatakan salah satu contoh keadaan yang akan
menimpa bayi sekiranya si suami pergi memancing ikan ketika isterinya sedang
mengandung. Mulut bayi akan kelihatan seperti tertarik ke atas seolah-olah
mulut ikan yang telah tersangkut pada pancing.
Keadaan-keadaan
lain yang turut dapat dijadikan contoh adalah seperti kulit yang bersisik
seperti ular ataupun keadaan rupa paras yang seakan-akan rupa monyet.
Bukan itu
sahaja, pasangan yang bakal menimang cahayamata juga dinasihatkan supaya
sentiasa mengamalkan bacaan surah-surah yang terpilih dari Al-Quran, misalnya
Surah Yusof dan Surah Muhammad. Surah Yusof diamalkan untuk memperolehi anak
yang elok rupa parasnya dan Surah Muhammad diamalkan dengan harapan anak yang
bakal lahir akan cerdik dan pandai serta mempunyai sifat terpuji.
Mengikut adat
dan kepercayaan Melayu, barang-barang persiapan untuk menyambut kelahiran bayi
seperti peralatan bayi, buaian, mandian dan pakaiannya tidak boleh disediakan
selagi kandungan ibu belum mencukupi lima bulan. Ini kerana dikhuatiri sesuatu
yang buruk akan menimpa bayi tersebut, seperti keguguran ataupun mengikut
kepercayaan akan dicuri Orang Bunian.
Selain itu,
perlakuan si ibu sepanjang tempoh mengandung akan turut mempengaruhi bayi
apabila lahir kelak. Maka, orang tua-tua berpendapat bahawa ketika mengandung,
si ibu perlulah sentiasa bermanis muka dan ringan tangan supaya anak yang bakal
dilahirkan akan bersifat sedemikian setelah lahir.
Setelah genap
sembilan bulan, kelahiran bayi akan disambut dalam suasana yang penuh
kesyukuran dan kegembiraan oleh seisi keluarga. Selepas dibersihkan oleh bidan,
sekiranya bayi tersebut lelaki, si bapa atau datuknya akan mengazankan di
telinga kanannya, manakala bagi anak perempuan akan diiqamatkan di telinga
kirinya. Ini adalah ritual yang pertama sekali dilakukan ketika menyambut
kehadiran satu lagi insan di dalam dunia ini yang dilahirkan dalam adat Melayu.
Kemudian, tali pusat akan dipotong bagi memisahkannya dari alam yang gelap di
perut ibu ke alam baru yang menantinya. Menurut sesetengah kepercayaan, bayi
dikatakan menangis ketika dilahirkan kerana terkejut melihat keadaan alam yang
penuh dosa.
Ada pula yang mengatakan bayi tersebut
ditakut-takutkan oleh hantu syaitan, dan tidak kurang juga ada yang mengatakan
bayi tersebut menangis kerana takut dengan beban yang bakal dipikulnya dalam
kehidupan kelak.
Setelah
selesai dimandikan, si bapa akan berperanan menanam uri bayi seperti upacara
pengkebumian jenazah. Ini kerana uri dianggap sebagai saudara kembar dan teman
bayi sewaktu di dalam perut ibu. Ia perlu ditanam dengan sempurna supaya tidak
datang mengganggu bayi. Di antara pantang larang menanam uri ialah uri tidak
boleh ditanam di luar rumah kerana dipercayai anak tersebut apabila dewasa akan
sukar dikawal perlakuannya. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan
oleh pihak tertentu yang ingin menjalankan upacara perbomohan atau pemujaan.
Kesemua adat dan upacara menerima
kehadiran orang baru ini termasuk dalam salah satu jenis ritual iaitu dinamakan
Rites of Initiation.
iii. Bersalin
Setelah kandungan genap bilangan bulan
dan harinya iaitu sembilan bulan sembilan hari pada perkiraan orang tua-tua
zaman dahulu, dan saat untuk melahirkan pun sudah hampir maka segala
kelengkapan seperti beras, kelapa dan damar, akan disediakan sama seperti
ketika upacara melenggang perut dijalankan. Setelah selesai bersalin, beras,
damar dan kelapa semuanya akan diberikan kepada tok bidan di samping wang
sebanyak $5.00 jika anak sulung, $3.25 jika anak yang kedua, manakala anak yang
ketiga bayarannya sama seperti anak sulung dan begitulah seterusnya.
Menurut kepercayaan orang tua-tua
dahulu kala, ada sejenis hantu atau syaitan yang kononnya , suka datang pada
masa perempuan bersalin kerana hendak memakan darah perempuan itu. Oleh sebab
kepercayaan yang sedemikian, maka telah menjadi adat bagi masyarakat Melayu
untuk menggantung secekak daun mengkuang yang berduri di bawah rumah,
betul-betul pada tempat pembaringan ibu yang baru bersalin itu.
Daun tersebut dipercayai dapat menjadi
penghalang hantu daripada datang menghampiri tempat itu. Ada juga yang mencalitkan pangkah dengan kapur yang disertai
dengan jampi serapah di muka pintu bilik atau rumah tempat ibu yang baru
bersalin tersebut tinggal. Bukan itu sahaja, di tengah-tengah dahi bayi yang
baru lahir itu turut dicalitkan dengan tanda pangkah yang dibuat daripada
minyak yang telah dicampurkan dengan serbuk arang kayu dan dijampi. Ini semua
dilakukan dengan harapan hendak menjauhkan bayi itu daripada dirasuk atau
diganggu oleh hantu syaitan.
Apabila bayi tersebut berusia genap
tujuh hari, kenduri secara kecil-kecilan akan diadakan sebagai tanda kesyukuran
menerima ahli keluarga baru dan kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan
yang selamat.
iv. Berpantang Empat Puluh Hari
Selama empat puluh empat hari, dikira
dari hari pertama bersalin, adalah diadatkan kepada ibu tersebut untung
menjalani pantang. Ini bererti ibu tersebut ditegah daripada makan sebarangan
mengikut kehendaknya atau membuat apa-apa jua kerja rumahtangga, walaupun
bangun berjalan meninggalkan tempat tidurnya. Selepas tujuh hari barulah ibu
tersebut dibenarkan berjalan sedikit-sedikit, itu pun hanya di dalam rumahnya
sahaja. Pantang ini adalah dianggap suatu perkara yang penting sekalipun ibu
tersebut merasakan yang dia sudah boleh membuat sebarang aktiviti seperti biasa
dilakukan. Ketika dalam berpantang, ibu tersebut akan dikehendaki memakai
stoking atau membalut kakinya dengan kain bagi mengelakkan angin memasuki
badan. Di dahinya pula akan dilumurkan ubat yang bertujuan menarik angin keluar
dari badan.
Berpantang bukan sahaja melibatkan
pemakanan dan kesihatan diri ibu tersebut. Si suami dihalang meniduri isterinya ketika si isteri sedang berpantang. Ada juga yang langsung tidak membenarkan suami tidur sebilik dengan siisteri dalam tempoh berpantang. Ini kerana dalam tempoh
berpantang, si isteri akan berasa lemah badan dan sakit ketika bersalin masih
belum hilang sepenuhnya.
Selain itu, isteri juga akan mengalami
darah nifas yang hanya keluar selepas bersalin dan keadaan ini menimbulkan rasa
kurang selesa bagi isteri untuk didatangi suaminya.
Di antara ubat yang dipakai dan
dimakan oleh ibu bersalin biasanya adalah ubat yang diberikan oleh tok bidannya
sahaja. Selain daripada ubat yang dimakan dan dipakai, ibu tersebut juga akan
menjalani kaedah bertungku (tuam) di perutnya sehari sekali selama tempoh
pantangnya. Ada sesetengah bidan menggantikan kerja-kerja bertungku dengan
berdiang. Ibu-ibu akan diberikan makanan yang boleh mendatangkan sumber darah
di dalam badannya bagi menggantikan darah yang telah banyak hilang semasa
bersalin, contohnya limpa dan hati. Makanan tersebut juga akan dimasak mengikut
cara tertentu yang boleh membantu menghilangkan angin di dalam badan dan
mengecutkan segala urat saraf yang telah mengembang. Ibu-ibu juga biasanya
dinasihatkan memakan jamu yang dapat memulihkan semula tenaga dan memperbaiki
tekstur dan bentuk tubuh badan mereka seperti sediakala.
Namun begitu, bagi masyarakat
sekarang, bersalin di hospital adalah lebih selamat dan mudah.
Walaubagaimanapun, pantang larang selepas bersalin masih lagi diamalkan dalam
masyarakat Melayu bagi enjamin kesihatan ibu tersebut.
v. Mandi Selepas Pantang
Selepas tamat tempoh berpantang, iaitu
selepas empat puluh empat hari, maka pada hari yang keempat puluh lima akan
diadakan kenduri kecil di antara ahli keluarga. Ibu tersebut akan dimandikan
dengan air sintok limau serta dilangirkan sebagai syarat melepaskan pantang.
Bermula dari hari tersebut, maka ibu itu bebas menjalankan kerja-kerja rumahtangga
atau sebarang pekerjaan lain. Berpantang sebenarnya bertujuan bagi mengelakkan
bentan yang bermaksud sakit yang akan timbul akibat daripada melanggar pantang.
Antara gejala bentan ialah rasa sakit
di ari-ari atau kemaluan, keluar nanah atau darah dari saluran peranakan
ataupun berlakunya buasir. Adalah digalakkan bagi suami isteri untuk bersama
setelah tamat upacara mandi selepas pantang kerana ini akan mengeratkan
kemesraan di antara keduanya
vi. Berendoi
Berendoi
masih bergerak aktif hingga ke hari ini dan boleh ditonton kebanyakannya di
negeri Perlis, Kedah, dan Perak. Di negeri Perak nyanyian berendoi ini
menggunakan nama Dendang Siti Fatimah dan seni katanya berlainan dengan seni
kata yang dibawa oleh kumpulan Berendoi di Perlis dan Kedah. Adat berendoi atau
buai bayi ini dipersembahkan sebagai tanda keriangan atau kesyukuran menyambut
kelahiran cahaya mata. Lagu-lagu Berendoi atau Dendang Siti Fatimah membawa
seni kata yang memuji junjungan Nabi Muhammad s.a.w, menceritakan perihal susah
payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada
kanak-kanak. Ada juga seni kata yang dicipta oleh kumpulan ini disesuaikan
dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah
Tuhan Rabbul'alamin, Anak di dalam Buaian, Ayuhai Anak Cahaya Mata, Kebesaran
Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka. Berikut ialah lagu Anak di dalam Buaian:
Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu Berendoi kami dendangkan,
Di dalam majlis tanda kesyukuran.
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu Berendoi kami dendangkan,
Di dalam majlis tanda kesyukuran.
Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.
vii. Bercukur jambul
Selepas
tujuh hari dari hari bersalin, lazimnya diadakan kenduri nasi kunyit, kerana
itulah harinya adat mencukur kepala anak kecil itu dijalankan. Kelengkapan yang
disediakan untuk adat mencukur ini adalah seperti berikut:
• Anak kecil atau bayi itu
dipakaikan dengan pakaian yang cantik dan diletakkan dia di atas tilam kecil.
• Satu dulang berisi tiga biji
mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
• Sebiji kelapa mumbang yang besar
sedikit dipotong pada arah kepalanya dengan potongan berkelok-kelok
siku-keluang dan dijadikan penutupnya daripada potongan itu. Air kelapa itu
dibuang dan diisi ke dalamnya sedikit air sejuk, dan kelapa itu diletakkan di
dalam sebiji batil semuat-muat kelapa itu sahaja. Biasanya, kelapa itu dihiasi
dengan lilitan rantai emas atau perak dan dicucuk dengan tajuk-tajuk rekaan
yang indah-indah rupanya.
Apabila kesemuanya sudah siap, maka
bayi itu pun dibawa keluar dan dikelilingkan kepada tetamu-tetamu lelaki yang
hadir dan setiap seorang daripada mereka dikehendaki menepuk sedikit tepung
tawar, menebar sedikit beras kunyit dan bertih kepada bayi itu. Setelah perkara
tersebut dilakukan, barulah tetamu-tetamu lelaki tadi menggunting sedikit
sahaja rambut bayi itu dengan gunting yang telah disediakan. Lalu rambut yang
digunting itu dimasukkan ke dalam kelapa yang telah diisi air. Bilangan orang
yang menggunting rambut bayi itu hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu
tiga, lima atau tujuh atau seumpamanya. Pada masa inilah anak itu diberi nama
oleh si bapa. Nama yang diberi adalah nama yang indah dan memberi maksud yang
baik.
Setelah selesai adat bercukur dan
memberi nama anak yang telah dilakukan oleh pihak lelaki, anak itu akan dibawa
masuk ke dalam rumah itu dan hal seperti menggunting rambut anak itu dilakukan
pula oleh pihak perempuan.
Setelah
selesai kedua-dua pihak lelaki dan perempuan menjalankan perkara di atas, maka
barulah kepala anak itu dicukur seluruhnya oleh tok bidan atau sesiapa yang
mahir dengan kerja itu. Rambut anak yang telah dicukur itu dimasukkan semuanya
ke dalam kelapa itu dan segala rantai dan tajuk-tajuk yang menghiasi kelapa itu
dibuka dan dicabut. Kemudian kelapa itu biasanya akan ditanam di mana-mana di
halaman rumah bersama-sama sepohon kelapa atau lain-lain seumpamanya sebagai
peringatan masa anak itu dilahirkan pada masa hadapan kelak. Namun begitu,
orang Melayu di bandar yang sudah moden sekarang tidak banyak lagi menjalankan
adat ini, rata-rata orang Melayu kampung sahaja yang masih banyak dan gemar
melakukan adat resam mencukur dan menamakan anak. Berkenaan dengan menamakan
anak undang-undang kerajaan telah menetapkan bahawa anak yang baru dilahirkan
perlulah diberi nama dalam tempoh 24 jam kerana dalam tempoh itu anak yang
telah diberi nama itu dikehendaki didaftarkan di pejabat pendaftaran.
vii. Bersunat
Bersunat
atau ber khatan pada masa sekarang kurang dijalankan dengan
mengadakan kenduri kendara secara besar-besaran seperti pada zaman dahulu.
Walaubagaimanapun masih ada juga yang mengerjakannya dengan berkenduri kendara
yang tidak kurang hebatnya. Apabila umur anak si ibu bapa Melayu telah masuk
lebih kurang sepuluh atau dua belas tahun maka ibu bapa anak tersebut akan
menetapkan hari untuk mereka mengadakan kenduri kendara menyunat anaknya itu.
Lalu diberitahu atau dijemput dengan mulut atau dengan surat beberapa
saudara-mara, sahabat-handai dan jiran-jiran sekampung. Sekiranya ingin
mengadakan kenduri yang lebih besar maka dipanggillah ahli-ahli jemputan dengan
lebih ramai lagi.
Bila sampai
harinya, pada sebelah petang atau malamnya mulalah anak lelaki yang hendak
disunat itu dimandikan, diandam dan dipakaikan dengan pakaian yang cantik
seperti pakaian pengantin. Kemudian, anak lelaki yang ingin disunat itu dibawa
duduk di atas kerusi dan ada juga yang membuat pelamin khas untuk budak itu
duduk. Bahkan, ada juga yang suka mengarak budak itu seperti mengarak pengantin
sebelum dia didudukkan di atas pelamin. Sesetengahnya pula jika budak yang
hendak disunat itu telah khatam membaca Al-Quran maka disertakan pula adat
menyunat itu dengan adat berkhatam Al-Quran, iaitu budak itu duduk bersila di
atas tikar di belakang pelamin itu berhadapan dengan tetamu kehormat yang hadir
dan membaca surah-surah penghabisan di dalam Al-Quran itu dengan suara yang
kuat dan berlagu (jika dia telah dilatih mengaji dengan berlagu). Setelah
selesai mengaji budak itu dipelawa duduk di atas pelamin dan bunga-bunga telur
yang telah diperbuat khas dibahagikan kepada tetamu kehormat yang hadir seorang
satu tangkai. Bagi guru yang mengajar budak itu, lazimnya si ibu bapa kepada
anak yang ingin disunat itu akan menghadiahkan lengkap satu persalin pakaian.
Pada akhir majlis itu budak itu disuruh mencium tangan dan bersalaman dengan
tetamu-tetamu kehormat tersebut. Kemudiannya, jamuan pun diedarkan kepada
sekalian yang hadir. Sesudah itu, majlis petang atau malam itu pun tamat. Pada
pagi keesokan harinya, sebelum tok mudim (gelaran tukang sunat) tiba, beberapa
benda untuk kegunaan tok mudim menyunat perlu disediakan seperti di bawah ini
:-
• kain putih, panjang lima
hasta.
• seekor ayam jantan.
• sebiji buyong air.
• sebatang pokok pisang.
• sirih pinang selengkapnya di
dalam piring atau tepak.
• duit sebanyak RM3 atau lebih,
bergantung seberapa banyak ibu bapa budak itu hendak sedekah kapada tok mudim
itu.
Pada pagi itu,
budak yang ingin disunat akan disuruh mandi sepuas-puasnya dan setelah itu air
di dalam buyong yang telah dijampi oleh tok mudim akan dicedok dan disiram ke
atas budak itu sambil budak itu berdiri di atas tangga. Kemudian budak itu
disuruh duduk berkangkang di atas batang pisang, dan tok mudim itu pun dengan
pantas menyunatkannya. Sehabis sahaja dicantasnya maka dengan cepat tok mudim
itu mengambil ayam jantan dan diacukannya kepala ayam jantan itu kepada
kemaluan budak itu. Jika tengkok ayam itu kelihatan kembang ketika
diacu-acukan, menandakan kononnya budak itu garang dan akan berbini banyak.
Kain putih,
ayam jantan, tepak dengan isinya, buyong dan duit sedekah itu semuanya
terpulang kepada tok mudim itu untuk mengambilnya. Tok Mudim itu akan datang
melihat keadaan budak yang disunatnya itu selama tiga hari berturut-turut,
setelah itu selesailah kerjanya.
Namun begitu,
kebanyakan masyarakat Melayu sekarang lebih gemar menghantar anak lelaki mereka
bersunat di hospital atau di klinik yang diyakini jauh lebih mudah, cepat
sembuh dan selamat oleh doktor yang berkemahiran.
ix. Bertindik
Adat
resam bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana
tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang
berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun. Adat
bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap
akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila
meningkat dewasa kelak. Bagi keluarga Melayu zaman kini, ia merupakan suatu
simbolik titik permulaan pemberian sesuatu yang berharga daripada ibu bapa
kepada anak perempuan mereka yang berupa barang kemas.
Selain itu,
adat bertindik juga dilakukan sempena mengingati peristiwa di zaman Rasulullah
di mana seorang wanita telah cedera di telinganya semasa terlibat dalam
peperangan. Untuk menutup kecederaan di telinganya, beliau telah meletakkan
sesuatu di lubang tersebut sebagai perhiasan. Inilah yang dikatakan asal-usul
adat bertindik di kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi, pada zaman sekarang
ini, kerja tersebut tidak banyak lagi dilakukan walaupun oleh orang-orang
melayu kampung. Pada masa sekarang, bertindik ini dilakukan sendiri dengan apa
sahaja cara yang mudah, asalkan cuping telinga anak masing-masing dapat ditebuk
dengan selamat. Tambahan pula di bandar-bandar dan pekan-pekan besar sekarang,
pelbagai jenis subang dan anting-anting moden yang cantik-cantik boleh dibeli
dengan murah. Malah ada juga anting-anting yang boleh dibeli dan dipakai di
cuping telinga dengan hanya pakai ketap sahaja. Walaubagaimanapun, dalam zaman
moden kini, perkara bertindik telinga tidak lagi menjadi suatu perkara yang
perlu bagi setiap kanak-kanak perempuan.
x. Berkhatam al-Quran
Dalam
masyarakat Melayu, ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam
kehidupan seharian. Anak-anak telah dididik dan diasuh untuk membaca Al-Quran
semenjak kecil lagi. Bertitik tolak dari itu, maka muncullah pantun yang
sehingga kini masih diamalkan oleh para ibu untuk mendodoikan anak mereka yang
masih di dalam buaian.
Buai
tinggi-tinggi,
Bagi
masyarakat Melayu zaman dahulu, mereka menghantar anak mereka untuk mempelajari
Al-Quran di pondok-pondok agama atau di madrasah. Di sana , terdapat seorang
guru agama yang akan mengajar anak-anak mereka membaca Al-Quran sehingga tamat.
Bagi zaman
kini, konsep yang sama masih digunakan, yang berbeza cuma cara ia dijalankan.
Ada sesetengah ibu bapa yang mengajar sendiri anak mereka, dan ada juga yang
menjemput ustaz atau guru agama datang ke rumah untuk mengajar anak mereka.
Tidak kira bagaimanapun caranya, yang pasti, setelah tamat menghabiskan
pengajian membaca Al-Quran atau dalam bahasa Arab dipanggil Khatam Al-Quran,
satu kenduri kesyukuran akan dijalankan oleh ibu bapa dan kenduri ini akan
dihadiri oleh semua ahli keluarga dan penduduk setempat.
Dalam kenduri
tersebut, seorang guru akan dipanggil untuk menyemak bacaan anak-anak yang
bakal khatam Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran dari surah-surah yang terakhir dalam
Al-Quran bermula dari surah Ad-Dhuha sehingga surah An-Nas akan diperdengarkan
kepada tetamu dan setelah tamat tuan guru tersebut akan membacakan doa khatam
Al-Quran, menandakan kanak-kanak tersebut sudah diiktiraf tamat membaca Al-Quran.
Namun begitu, ini tidak bererti mereka tidak perlu lagi membaca Al-Quran dalam
kehidupan sehari-hari. Upacara ini sebenarnya menandakan bahawa kanak-kanak
tersebut sudah tidak lagi memerlukan seorang guru untuk menyemak bacaan mereka
setiap kali mereka membaca Al-Quran. Bermula dari hari tersebut, mereka hanya
perlu membaca Al-Quran sendiri kerana mereka telah dianggap fasih dan mahir
dalam membaca Al-Quran. Selepas tamat bacaan doa, para tetamu akan dijamu
dengan makanan yang istimewa, bersesuaian dengan konsepnya iaitu mengadakan
kenduri kesyukuran supaya rahmatnya dapat dirasai bersama di kalangan semua
anggota masyarakat.
1.4 Adat Resam Perkahwinan
i. Menilik
atau Merisik
Menilik atau merisik pada hakikatnya
adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan
tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu
perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu
bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki
mereka.
Apabila ibu bapa seorang lelaki telah
menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk
berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan
beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka
memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai untuk
dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara
tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya
bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku
keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian
seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah
ditebuk tupai bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di
kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka
mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak
perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki
berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah
melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan
nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang
janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak
dara.
Selain itu, pilihan yang tepat adalah
difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu
bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada
perbidalan Melayu "Kalau hendak meminang anak, 'pinang' ibu bapanya
dahulu”.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak
dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran
dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan
hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa
paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat
dan memasak.
Dalam adat menilik atau merisik,
selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan
datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai
oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk
berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri
wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk
memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada
sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan
bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau
memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk
menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki
terbabit.
Ada rombongan yang datang tanpa
diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada
pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan
menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan
pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian,
maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang
sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai
suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan
rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat.
Akan tetapi, sekiranya sewaktu
rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat
kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas/ Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu
bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak
dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan,
iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa
petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. (Pengkaji sendiri pernah menghadapi masalah berkenaan.)
Namun begitu, bagi masyarakat
Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan
dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat
Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada
mereka.
Setelah selesai adat menilik,
rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli
keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk
mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang
untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan
pertunangan.
ii.
Meminang
dan bertunang
Setelah kata persetujuan dicapai oleh
keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari
kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk
mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa
kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak
yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh
untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak
berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya
mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu.
Sebenarnya, adat bertangguh ini
mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan
menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam
kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam
mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang
dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang
ditetapkan.
Setelah tamat tempoh yang diberikan,
biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan
menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak
mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan
itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan
hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih
untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat
dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada
pihak perempuan.
Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan
sebagai “putus cakap”. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun
diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda
daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui
upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut
sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh
lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu
cincin berbatu intan atau berlian, berdasarka citarasa dan kemampuan ibu
bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin,
beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang,
selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap
sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik
serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan.
Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil
dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang.
Contohnya, jika pihak lelaki
memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang.
Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju
melayu, capal dan kuih-muih.
Sekiranya dalam tempoh menunggu
diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin
dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan.
Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan.
Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak
perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan
oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.
Selain dari adat pertunangan yang
disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat
resam Melayu, iaitu :
• Pertunangan yang dilakukan
oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini
tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan
persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan
ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka.
Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga
kedua-dua anak itu berkahwin.
• Pertunangan mengikut wasiat
salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah
keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri
dengan ikatan perkahwinan.
iii.
Majlis
Perkahwinan
Di antara kesemua adat resam orang
Melayu, upacara atau aturan yang berhubung dengan perkara nikah kahwin adalah
sesuatu yang amat diambil berat dan dianggap penting. Ia akan dijalankan secara
besar-besaran dan melibatkan kesemua anggota masyarakat setempat yang dikenali
sebagai penduduk sekampung serta seluruh sanak saudara.
Oleh hal yang demikian, adat ini
dikategorikan sebagai adat yang paling rumit dilaksanakan kerana memerlukan
modal yang banyak untuk menjalankan kenduri kendara, majlis persandingan dan
lain-lain upacara di samping memerlukan tenaga kerja yang ramai dan memakan
masa yang panjang. Dalam adat nikah kahwin ini, bagi masyarakat Melayu,
terdapat 3 fasa yang perlu dilalui sebelum sesebuah rumahtangga didirikan dan
ia merupakan suatu adat yang perlu dipatuhi bagi melengkapkan sesuatu
perkahwinan.
iv.
Menghantar
Belanja dan Akad Nikah
Mengikut adat resam, menghantar
belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad
nikah, tetapi pada zaman sekarang, menghantar belanja selalu dijalankan bersama
dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Di antara
barang-barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu
hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak
dengan mempelai sebelum bersanding.
• Wang mas kahwin dan belanja
(ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas
selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil
bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
• Sebentuk cincin permata
berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
• 2 pasang kain dan sehelai baju
dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau
tembaga putih bertudung.
• Beberapa jenis kuih juadah,
yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias
beralaskan talam.
• Beberapa jenis buah-buahan
yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
• Tepak sirih atau puan perak
atau tembaga putih yang diisi lengkap.
• Satu atau dua perecik atau
perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.
Semua barang tersebut akan dibawa
setiap satunya oleh seorang pemuda dan diarak daripada rumah mempelai itu ke
rumah pengantin perempuan bersama-sama dengan mempelai yang sudah siap
berpakaian lengkap Melayu asli atau pakaian haji iaitu berserban dan berjubah
bagi memulakan upacara Majlis Akad Nikah. Mempelai dan rombongannya akan
disambut oleh pihak pengantin perempuan dan mereka akan terus dibawa naik ke
rumah. Semua barang hantaran akan diatur, biasanya di hadapan pelamin. Pelamin
ialah suatu ruang yang telah disiapkan biasanya seminggu sebelum majlis perkahwinan
berlangsung dan ia merupakan tempat di mana kedua-dua pengantin akan bersanding
di hadapan semua tetamu.
Sebelum akad nikah dijalankan, wang
belanja, sama ada dengan mas kahwinnya sekali atau tidak dan barang-barang
hantaran, seperti cincin akan dihitung dan diperiksa oleh tuan kadi bersama dua
orang yang dilantik sebagai saksinya bagi mewakili pihak perempuan.
Sekiranya ia bukan majlis akad,
bererti tuan kadi tidak hadir sama di majlis tersebut, wang dan barang-barang
yang dihantar akan diterima oleh seorang wakil dari pihak perempuan beserta dua
orang saksi yang dipilih dari kalangan tetamu yang hadir di majlis tersebut.
Setelah selesai adat penerimaan
kesemua wang dan barang-barang tersebut, tepak sirih, talam bunga rampai dan
perenjis air mawar akan ditinggalkan di ruang tamu, manakala barang-barang
hantaran yang lain akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin. Mempelai
kemudiannya akan diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias
indah untuk upacara akad. Tuan kadi akan memulakan majlis dengan mendaftarkan
nama mempelai itu terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan menyemak
segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir sekali membaca khutbah nikah
dalam bahasa Arab. Setelah selesai khutbah nikah itu dibacakan, maka tuan kadi
akan memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai saksi di dalam buku daftar
nikah untuk duduk berhampiran dengan mempelai. Tujuan saksi dipanggil adalah
untk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz nikah daripada tuan kadi kepada
mempelai. Lafaz tersebut perlulah dibalas dalam satu nafas serentak dengan
penyudah sebutan lafaz nikahnya apabila tangan mempelai itu digoncang oleh tuan
kadi.
Tuan kadi akan memegang tangan kanan
mempelai itu dengan tangan kanannya, atau lebih mudah lagi dikatakan berjabat
tangan kanan, lalu dimulakan akad dengan melafazkan kata seperti berikut:
"Hai polan bin polan, aku nikahkan dikau dengan polan binti polan, yang
telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwin sebanyak $.... (tunai atau
hutang) dan belanjanya sebanyak $....”. Sebaik sahaja perkatan yang akhir itu
habis dilafazkan, tuan kadi akan menggoncang tangan mempelai tersebut dan
dengan serta-merta pada saat tersebut mempelai dikehendaki menjawab dalam satu
nafas dengan terang, jelas dan betul serta boleh didengar oleh tuan kadi dan
kedua-dua saksi. Jawapan lafaznya adalah seperti berikut : "Aku terima
nikahnya polan binti polan dengan mas kahwin sebanyak $.....(tunai/hutang)”.
Sekiranya mempelai tersebut menjawab
dengan lambat, teragak-agak atau tidak terang, maka tuan kadi akan mengulangi
sekali atau beberapa kali lagi lafaz akad tersebut sehingga dia dan kedua-dua
saksinya berpuas hati dengan jawapan mempelai itu.
Setelah selesai, doa akan dibacakan
oleh tuan kadi. Mempelai kemudiannya akan bangun bersalam-salaman bermula
dengan tuan kadi, kemudian bapa rnertuanya, dan akhir sekali dengan tetamu yang
hadir sebelum diarak pulang ke rumahnya. Bunga rampai dan sirih pinang yang
dibawa oleh mempelai akan dibahagikan kepada tetamu yang hadir selepas jamuan
diadakan manakala bekas-bekas kuih dan juadah serta buah-buahan yang diterima
dari pihak lelaki akan dibalas oleh pihak perempuan dengan balasan yang
berpatutan dan akan dibawa pulang oleh pihak lelaki ke rumah mempelai. Setelah
mempelai berarak pulang, jamuan akan diadakan di rumah pengantin perempuan.
Biasanya di majlis akad nikah, kenduri secara besar-besaran tidak diadakan.
Pihak pengantin perempuan hanya mengadakan jamuan kuih-muih atau nasi tetapi
jenis dan bilangan lauk-pauknya tidaklah sebanyak lauk-pauk sewaktu kenduri
bersanding. Ini kerana biasanya majlis akad tidak dihadiri oleh ramai tetamu
luar, melainkan saudara-mara dan ahli keluarga.
v.
Berandam
dan Berasah Gigi
Biasanya bagi masyarakat Melayu zaman
dahulu, adalah menjadi adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan
lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Anak dara
tersebut akan diandam oleh tukang andam yang memang kerjanya mengambil upah
menjadi emak pengantin dan beliaulah yang akan menguruskan semua kerja-kerja menyiapkan
dan mengandam pengantin. Pengertian berandam itu ialah perempuan yang hendak
dikahwinkan perlu dicukur dan diperelokkan bentuk bulu keningnya dan dicukur
andam anak rambut di sepanjang dahinya.
Kemudian, gigi anak dara itu akan
diasah dengan sejenis batu pengasah gigi supaya saiz dan kedudukan gigi dapat
disama ratakan.
Semua ini dilakukan oleh orang tua-tua
zaman dahulu dengan tujuan yang baik, iaitu untuk menambah kecantikan dan seri
kepada anak dara tersebut.
Setelah selesai diandam dan diasah
gigi, anak dara tersebut akan dimandikan serta disapukan bedak. Beliau akan
dimandikan dengan air daun buah limau purut dan mak andam akan menjalankan
upacara sintok langir yang mengikut kepercayaan, upacara tersebut akan membuang
rasa takut, sial, malang dan malapetaka yang bakal mengganggu anak dara
tersebut.
Apabila telah siap dimandikan, maka
hujung kesepuluh-sepuluh jari tangan, di tengah-tengah kedua belah tapak tangan
dan di sekeliling kedua belah kaki anak dara itu akan diinaikan. Upacara
menepek inai ini dilakukan terlebih dahulu sebelum adat berinai di pelamin
dijalankan.
vi.
Berinai
di Pelamin
Sungguhpun adat berinai di pelamin ini
tidak lagi dijalankan oleh masyarakat sekarang, akan tetapi masih juga terdapat
keluarga yang tetap mengamalkannya. Ini kerana adat menginai ini memerlukan
perbelanjaan yang lebih besar dan agak rumit, maka hal ini menyebabkan upacara
ini semakin dilupakan. Adat berinai di pelamin ini dilakukan dalam 3 peringkat.
Pada kali pertama ia dinamakan berinai curi, pada kali kedua dinamakan berinai
kecil dan pada kali ketiga dinamakan berinai besar.
Dalam kebanyakan negeri, biasanya adat
berinai di pelamin ini dijalankan pada malam hari. Berbeza dengan negeri Johor,
upacara ini dijalankan di sebelah petang.
Upacara berinai akan dijalankan
sebelum upacara akad nikah dan bersanding. Dalam majlis tersebut, anak dara itu
akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah, iaitu pakaian pengantin, lalu
dibawa duduk di atas pelamin yang terletak di ruang tamu.
Anak dara itu akan duduk di hadapan
sekumpulan kaum keluarga dan sahabat handai yang biasanya terdiri daripada kaum
perempuan. Bagi upacara berinai curi dan berinai kecil, hanya pengantin
perempuan sahaja yang akan duduk di atas pelamin dan diinaikan. Pengantin
lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk diinaikan pada upacara
berinai besar. Dalam upacara tersebut, pengantin perempuan akan diinai terlebih
dahulu di atas pelamin. Setelah selesai, pengantin perempuan akan dibawa masuk
ke dalam bilik dan pengantin lelaki pula akan diinaikan di atas pelamin.
Ringkasan cara menginai di atas pelamin itu adalah seperti berikut :
Di atas pelamin, di hadapan pengantin
itu akan diletakkan sebuah pahar berkaki tinggi yang disusun dengan beberapa
bekas dan piring, satu berisi beras kunyit, satu berisi bertih dan satu lagi
berisi air tepung tawar yang lengkap dengan perenjisnya. Di tengah-tengah pahar
itu diletakkan sebiji astakona kecil berisi inai yang sudah siap digiling
halus. Pengantin akan diinaikan secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga dan
upacara akan dimulakan dengan ahli keluarga lelaki yang berpangkat tua-tua
seperti datuk, bapa dan bapa saudara.
Mula-mula, sejemput beras kunyit akan
diambil dari bekas yang di atas pahar tersebut dan dihamburkan ke kiri dan
kanan pengantin. Kemudian, diikuti dengan sedikit bertih dan akhir sekali
perenjis tepung tawar akan dicicahkan sedikit ke dalam bekas berisi air tepung
tawar lalu ditepukkan sedikit ke atas belakang tangan pengantin yang berada di
atas ribaan pengantin itu. Akhir sekali, inai akan dicubit sedikit dari
astakona inai dan dicalitkan di tapak tangan yang sudah beralas dengan daun
sirih. Setelah selesai, emak pengantin akan menyusunkan jari kedua-dua tangan
pengantin itu dan diangkatkan ke muka pengantin seperti orang menyembah.
Dalam adat ini, bilangan orang lelaki
yang hendak menginaikan pengantin mestilah ganjil, iatu tiga, lima atau tujuh
orang. Setelah tamat diinaikan oleh orang lelaki, mereka akan keluar daripada
majlis itu dan upacara diteruskan oleh orang perempuan dengan cara yang sama
juga.
Cara yang sama akan dilakukan dalam
setiap majlis berinai tidak kira ianya majlis berinai curi, berinai kecil atau
berinai besar. Apa yang berbeza hanyalah pengantin lelaki akan turut diinai
dalam adat berinai besar.
vii.
Bersanding
Sebelum majlis persandingan
dijalankan, pelamin akan disiapkan terlebih dahulu. Pelamin adalah berbentuk
seperti suatu singgahsana yang dilengkapi dengan bangku atau kaus atau dua buah
kerusi yang dipanggil peterakna sebagai tempat duduk kedua-dua pengantin
tersebut semasa bersanding. Pelamin diperbuat daripada kayu dan kertas tebal
yang dibalut dan dihiasi dengan kertas-kertas bunga dan kain-kain sutera yang
berwarna-warni. Biasanya bagi masa dahulu, terdapat pelbagai pelita kecil yang
bermacam warna diletakkan di sekeliling bagi menambah keindahannya. Besar atau
kecil, mahal atau murah, dan elok atau buruknya pelamin itu adalah bergantung
kepada kemampuan tuan rumah dan kepandaian tukang pelamin tersebut. Ketinggian
pelamin biasanya adalah dua atau tiga tingkat, dan setiap satu tingkat hanyalah
lebih kurang satu kaki sahaja tingginya. Peterakna atau kaus tempat duduk
pengantin semasa bersanding akan dibalut dengan kain sutera atau baldu
berwarna-warni dan bertekat sulam yang indah. Peterakna itu diletakkan di
tingkat yang atas sekali dan di hadapannya diletakkan satu pahar yang dipanggil
oleh orang Melayu dengan nama astakona. Ia berisi nasi kunyit yang dihiasi
dengan bunga-bunga telur bercelup merah dan di kemuncak gubahan nasi kunyit itu
dicacakkan sejambak karangan bunga yang diperbuat daripada kertas perada dan
manik jemeki yang berwarna-warni dan berkilauan.
Apabila sampai masa untuk kedua-dua
pengantin itu disandingkan, maka perkara yang mula-mula sekali dilakukan ialah
memakaikan pengantin perempuan, dan apabila pemakaian pengantin perempuan
dimulakan, pihak mempelai akan diberi khabaran awal bagi memudahkan mereka
bersiap untuk berangkat datang.
Apabila pengantin perempuan sudah
hampir siap atau sudah siap berpakaian, khabaran akhir akan dihantar kepada
pihak mempelai dengan tujuan supaya mempelai itu boleh berangkat datang tepat
pada masanya.
Setelah lengkap pengantin perempuan
itu dipakaikan dengan pakaian Melayu asli yang serba indah, maka beliau pun
dipimpin oleh emak pengantin bersama-sama dengan seorang budak perempuan
sebagai pengapit yang turut dihias indah berjalan perlahan-lahan naik ke
pelamin dan didudukkan di atas peterakna pelamin di sebelah kiri. Pengapit akan
berdiri di kiri pengantin dengan satu kipas bertekat di tangannya dan
berperanan mengipas pengantin itu secara periahan-lahan. Jika mengikut adat,
pengantin perempuan itu hendaklah sentiasa duduk sepanjang berada di atas
pelamin dengan kedua-dua matanya memandang ke bawah dan menundukkan kepala
sedikit sebagai tanda malu dan sopan yang memang sinonim dengan wanita Melayu.
Biasanya, rombongan mempelai akan mula berarak keluar dari rumah menuju ke
rumah pengantin perempuan betul-betul selepas pengantin perempuan dibawa duduk
di atas pelamin. Namun begitu, sekiranya rumah mempelai terletak agak jauh maka
mempelai itu akan dibawa keluar berarak sebelum pengantin perempuan itu diletakkan
di atas pelamin supaya tidak menyakiti pengantin perempuan itu kerana terlalu
lama duduk menunggu. Perkataan menyakiti dalam konteks ayat ini bermaksud
pengantin perempuan akan berasa kurang selesa sepanjang persandingannya kerana
pakaian yang dipakaikan kepadanya adalah pakaian khas pengantin yang terlalu
sarat dengan perhiasan yang berat-berat dan kainnya diperbuat daripada jenis
yang tebal, terutamanya perhiasan di kepala.
Pengantin lelaki yang juga sudah siap
berpakaian selengkap pakaian cara Melayu asli iaitu bertengkolok, berbengkong
dan berkeris, akan mula dibawa berarak dengan berjalan kaki. Pada zaman dahulu,
di kampung-kampung terutamanya, bagi pengantin lelaki dari keluarga yang
berpangkat atau yang berkemampuan, beliau akan diarak dengan didudukkan di atas
usungan yang dipanggil tandu. Di antara adat dalam mengarak pengantin adalah
seperti berikut:
Di hadapan sekali yang mengetuai
rombongan tersebut adalah pasukan berebana, berkompang atau bermarhaban. Di
belakang pasukan ini adalah orang yang membawa tepak sirih atau puan yang
lengkap dengan isinya dan siap bertudungkan penudung yang diperbuat daripada
perak atau tembaga putih berbentuk seperti kepala merak jantan. Pembawa tepak
sirih itu akan diapit oleh dua orang yang membawa kaki dian yang sudah sedia
terpasang dan di belakang ketiga-tiga pembawa hantaran itu adalah mempelai
bersama pengapitnya. Sama seperti pengantin perempuan, pengapitnya akan turut
disiapkan dalam pakaian yang indah dan biasanya terdiri dari kalangan pemuda
yang belum berkahwin. Turut ada bersama ialah seorang lelaki yang berpangkat
tua dalam keluarga di sisi mempelai. Di belakang pengantin mempelai adalah
rombongan ahli keluarga dan sahabat handai bagi mewakili pihak lelaki. Pada
masa dahulu, rombongan itu biasanya akan turut membawa beberapa batang penyuluh
api minyak tanah atau andang, sambil mereka beramai-ramai berzikir dan
bermarhaban berselang-seli dengan paluan kompang serta pukulan rebana.
Biasanya, sekumpulan wakil kaum perempuan dari pihak mempelai akan tiba
terlebih dahulu dari rombongan pengantin. Mereka akan disambut dengan taburan
beras kunyit dan akan duduk menunggu di hadapan pelamin yang biasanya dibina di
ruang tamu rumah.
Di halaman rumah pengantin
pula adalah tempat untuk orang-orang lelaki berhimpun untuk menyambut ketibaan
mempelai. Mereka turut bersedia dengan paluan kompang dan rebana, seorang
pembawa tepak sirih yang tudungnya berbentuk seperti kepala merak betina, dan
diikuti dengan dua orang pembawa dian. Marhaban dan zikir turut dialunkan bagi
memeriahkan suasana. Apabila rombongan mempelai telah tiba, mereka akan
berhenti pada jarak lebih kurang sepuluh ela dari rumah pengantin. Si pembawa
tepak sirih mempelai akan membuka silat mencabar pembawa tepak sirih pengantin
perempuan. Kedua-duanya akan mempersembahkan silat pengantin yang gayanya
seperti merak mengigal.
Oleh yang demikian, biasanya pembawa
tepak sirih akan dipilih dari kalangan lelaki yang mahir dalam silat Melayu dan
pertunjukan ini biasanya sangat dinantikan oleh semua yang hadir.
Pertunjukan silat akan dijalankan juga. Sebagai penutup, mereka akan menemukan kedua-dua
muncung merak yang menjadi tudung kepada kedua-dua tepak sirih itu dan akan
disambut dengan sorak-sorai yang gemuruh daripada tetamu yang hadir. Mempelai
kemudiannya akan dipimpin ke pintu rumah dan sebelum masuk, salah seorang
wakilnya akan membacakan selawat sebanyak tiga kali dengan alunan yang sedap
dan kuat sebagai tanda memberi selamat kepada mempelai sebelum masuk ke rumah.
Pada tangga terbawah sekali di luar pintu masuk rumah akan dihamparkan dengan
permaidani yang panjang sehingga ke tapak tingkat pelamin sebagai alas untuk
mempelai berjalan.
Biasanya pada zaman dahulu, sebelum
mempelai dibawa masuk melalui pintu hadapan, beliau akan disekat oleh
sekumpulan pemuda yang ditugaskan untuk mengutip bayaran tebus pintu mengikut
seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Jika terdapat dua
pintu untuk dilalui, maka mempelai dimestikan membayar dua kali sebelum dibenarkan
masuk.
Lain pula cerita di pelamin.
Sekumpulan pemudi akan bersedia di pelamin, menyekat mempelai untuk duduk
bersanding di sisi pengantin perempuan selagi mereka belum menerima bayaran
harga tebus pelamin.
Setelah bayaran tebus diselesaikan
maka mempelai akan dibawa naik sehingga ke hadapan peterakna untuk disandingkan
di sebelah kanan pengantin perempuan. Akan tetapi sebelum itu, beliau sekali
lagi terpaksa membayar bayaran tebus yang akhir, iaitu bayaran tebus kipas,
yang pada masa itu sedang dipegang oleh emak pengantin bagi mendinding muka
pengantin perempuan itu. Bayaran tebusan ini pun mesti disempurnakan, dan di
antara ketiga-tiga bayaran tebus itu bayaran tebus kipas inilah yang termahal
sekali.
Setelah bayaran disempurnakan maka
barulah emak pengantin membuka muka pengantin perempuan itu dan menyambut
mempelai untuk didudukkan di sebelah kanan pengantin perempuan dan pengapit
mempelai itu berdiri di sebelah kanan mempelai itu.
Kedua-dua pengantin akan duduk
bersanding di hadapan kesemua tetamu dan keadaan inilah yang disinonimkan
dengan istilah raja sehari. Hal ini kerana keadaan pengantin itu duduk di atas
pelamin di hadapan kesemua tetamu adalah sama seperti situasi rakyat jelata
yang sedang mengadap raja dan permaisurinya. Apa yang berbeza hanyalah mereka
tidak dijunjung duli dan hanya menjadi tontonan.
Semasa bersanding, emak
pengantin akan menjalankan adat bersuap-suapan di antara kedua-dua pengantin.
Emak pengantin akan menjemput sedikit nasi kunyit daripada pahar astakona dan
diletakkannya ke tangan pengantin perempuan. Dengan memegang nasi itu
menggunakan dua jari, tangan pengantin perempuan akan diangkat oleh emak
pengantin lalu disuapkan ke mulut mempelai itu. Setelah itu, giliran pengantin
lelaki pula.
Setelah selesai adat bersuap-suapan,
emak pengantin pun turun daripada pelamin dan sekelian sanak saudara dan
sahabat handai pengantin lelaki yang belum naik melihat persandingan itu
dijemput naik. Ini kerana adat persandingan adalah upacara terbesar dan paling
disukai oleh masyarakat Melayu. Bunga telur yang dicucuk pada nasi kunyit di
astakona tersebut akan dicabut dan dibahagikan kepada tetamu perempuan yang
hadir dalam majlis itu seorang sebiji atau sekadar yang mencukupi.
Setelah itu, kedua-dua pengantin
dibawa oleh emak pengantin turun daripada pelamin berjalan perlahan-lahan
dengan keadaan kedua-duanya berpimpin tangan dan jari kelengkeng mereka
dikaitkan satu sama lain. Mereka dibawa terus masuk ke dalam bilik peraduan
pengantin, yang sudah sedia disiapkan dan dihiasi dengan perhiasan yang cantik
dan indah.
Di dalam bilik, kedua-dua pengantin
akan duduk bersanding di atas tikar sila, yang bertekat dan bersulam dengan
benang emas terletak di hadapan katil. Setelah kedua-duanya duduk, emak
pengantin akan mengambil kedua belah tangan pengantin perempuan lalu
dipersalamkannya dengan tangan mempelai itu sebagai tanda mula berkenalan di
alam suami isteri. Inilah yang dikatakan orang Melayu zaman dahulu, adat
berkahwin dahulu kemudian berkasih.
Emak pengantin akan keluar dari bilik
serta menutup pintunya dan meninggalkan kedua-dua pengantin suami isteri itu
bersendirian kira-kira sejam dua bagi memberi peluang kepada mereka untuk
berkenalan. Selepas sejam, emak pengantin itu akan masuk semula dan membawa
pengantin perempuan keluar dari bilik, manakala mempelai itu akan ditinggalkan
bersendirian.
Pengantin perempuan itu tidak akan
dibawa masuk semula ke dalam biliknya, melainkan jika persandingan itu selesai
selepas maghrib.
Pengantin perempuan hanya akan dibawa
masuk ke bilik semula pada waktu makan malam untuk melayani suaminya makan atau
makan bersama-samanya, dan selepas makan malam pengantin perempuan itu mengikut
adat, masih tidak lagi dibenarkan duduk berdua dengan suaminya. Adat ini akan
berlangsung selama dua hari dua malam selepas pengantin perempuan itu menjalani
upacara bersanding di mana beliau akan disalinkan dengan pakaian yang
indah-indah empat kali sehari iaitu pada makan pagi (futur), makan tengah hari,
minum teh petang dan makan malam. Pada waktu melayan makan suaminya, pengantin
perempuan digalakkan duduk lebih lama di dalam bilik bersama suaminya bagi
memberikan mereka peluang bergurau senda dan bermesra.
Pada hari yang ketiga, atau ada juga
pada hari yang keempat, tibalah masanya untuk pengantin suami isteri itu tidur
bersama di waktu malam. Mengikut adat, selepas selesai makan malam bersama
suaminya dan sebelum masuk tidur, pengantin perempuan akan dibawa keluar dari
bilik pengantin oleh emak pengantin dan disalinkan dengan pakaian serba putih
sama seperti cadar di katil pengantin yang sudah siap ditukar.
Pada malam itu juga, akan diadakan
persembahan bunyi-bunyian dan tarian seperti zapin atau yang seumpamanya, bagi
meraikan malam persatuan hayat kedua-dua pengantin suami isteri itu.
Pada esok paginya, sebelum adat
mandi-mandian atau berlimau dijalankan, emak pengantin akan bertemu dengan
pengantin lelaki untuk memeriksa daripadanya tanda yang membuktikan isterinya
itu masih lagi anak dara dan biasanya, suami atau mempelai itu akan menyerahkan
sehelai sapu tangan putih yang mengandungi tanda yang dikehendaki itu kepada
emak pengantin dan sapu tangan tersebut akan dibawa oleh emak pengantin lalu
ditunjukkan kepada ibu bapa pengantin lelaki. Setelah selesai semuanya adat mandi-mandian
atau berlimau akan diadakan
pelamin |
viii.
Mandi-mandian
dan Berlimau
Setelah sempurna kedua-dua pengantin
suami isteri itu menunaikan satu daripada hikmah perkahwinan, maka akan
diadakan sekali lagi persandingan di atas pelamin. Namun, pengantin tidak akan
dipakaikan dengan pakaian pengantin dan persandingan ini hanya melibatkan sanak
saudara sahaja. Setelah bersanding, kedua-duanya akan turun duduk di bangku
yang terletak di tengah tengah rumah itu dan di-sinilah dijalankan upacara
mandi-mandian dan bersintok limau sebagai menandakan persatuan antara kedua
pengantin suami isteri itu telah sempurna dan selamat. Setelah kedua-duanya
selesai dimandi dan disintok limaukan mengikut syarat, mereka pun dibawa oleh
emak pengantin ke bilik peraduan pengantin dengan keadaan suami memimpin
isterinya dengan memegang sehelai sapu tangan masuk ke bilik. Manakala di luar,
sekalian hadirin yang ada akan menyiram air tersebut sesama mereka sambil
bersuka ria. Air yang digunakan untuk upacara ini disediakan dalam pelbagai warna
bagi menambah kecantikannya dan dianggap sakral bagi masyarakat Melayu.
Kain basahan yang dipakai oleh
pengantin suami isteri itu mengikut adat tidak boleh diambil oleh mereka. Kain
tersebut akan dijadikan hadiah pemberian kepada emak pengantin. Menurut adat
Melayu, bukan sahaja kain basahan itu tidak boleh diambil semula oleh kedua
pengantin itu malah mereka juga ditegah untuk memerah sendiri kain tersebut.
Ini semua bertujuan untuk membuang rasa takut atau menolak bala daripada
kedua-dua pengantin itu. Kain tersebut akan diambil dan disimpan oleh emak
pengantin bagi membantu membuang dan menjauhkan bala.
ix.
Sambut-menyambut
dan Bertandang
Pada petang
hari upacara mandi-mandian itu dijalankan, kedua-dua pengantin suami isteri
akan disambut ke rumah pengantin lelaki, iaitu ke rumah suaminya. Di kalangan
sesetengah orang berada pada masa dahulu, adat menyambut ini akan dilakukan
dengan secara besar-besaran juga, iaitu dengan mengarak kedua-dua pengantin itu
dan disandingkan sekali lagi sambil diadakan jamuan kenduri-kendara. Mereka
akan tinggal di rumah pengantin lelaki selama beberapa hari sebelum pulang
semula ke rumah pengantin perempuan. Inilah penamat upacara nikah kahwin dalam
masyarakat Melayu.
1.5 Adat
Resam Kematian
Setiap makhluk
yang hidup pasti akan mati. Sesungguhnya kematian tetap akan menjemput insan
untuk kembali kepada penciptaNya. Sekuat mana pun kita lari, sejauh mana pun
kita cuba hindari, namun kematian akan tetap mengekori kita. Sampai waktunya dan
ketikanya kita tetap akan pergi jua. Begitulah bagi kaum masyarakat Melayu,
sama ada yang di kampung atau di pekan, langkah yang mula-mula sekali dilakukan
oleh keluarga si mati ialah memberitahu kepada siak atau penjaga masjid kampung
atau pekan itu supaya dituliskan di atas papan pemberi tahu masjid itu untuk
pengetahuan orang-orang kampung tentang siapa yang mati, bila dan di mana
dikebumi atau dikuburkan. Kemudian dihebohkan dengan mulut kepada kaum keluarga
dan sahabat handai terdekat dan bagi sanak saudara yang tinggal jauh pula
diberitahu melalui telefon atau telegram atau dengan surat . Adalah menjadi
perkara mustahak untuk dihebohkan agar tidak ada sesiapa yang akan terkecil
hati disebabkan tidak mengetahui akan kematian si mati.
Sekiranya si
mati meninggal pada sebelah petang atau malam, biasanya waktu mengkebumikan
mayat itu ditetapkan pada waktu tengah hari atau selewat-lewatnya pada waktu
petang esoknya. Jika si mati meninggal pada waktu subuh atau pada waktu pagi
maka masa mengkebumikannya akan dilakukan pada sebelah petang itu juga. Ini
disebabkan pada sisi Islam adalah lebih
afdal mayat dikebumikan di dalam tempoh enam jam selepas waktu hayatnya.
Mula-mula
mayat itu diangkat daripada tempat ia meninggal dunia dan di-letakkan di
tengah-tengah rumah di atas katil atau tilam beralas kain cadar yang bersih dan
elok. Di atas mayat itu dipasang langit-langit daripada kain bagi menahan atau menyekat
sebarang habuk atau kotoran daripada jatuh ke atas mayat itu.
Kemudian
kedua-dua tangan mayat itu dikiamkan ke dadanya dan mayat itu diselimut atau
ditutup dari kepala litup hingga ke hujung kakinya dengan sehelai dua kain
panjang. Menjadi adat masyarakat orang Melayu, sebuah kacip pinang akan
diletakkan melintang di atas kain yang menutupi mayat itu, di tengah antara
perut dengan dadanya. Tujuan ianya dibuat begitu, ialah kononnya untuk menegah
mayat itu daripada dilangkah hantu atau syaitan. Di sebelah mayat itu
diletakkan bara atau tempat perasap yang sentiasa berbara api dan dibakar di
dalamnya sejenis serbuk harum. Apabila dibakar atau dipanggil oleh masyarakat
Melayu "setanggi", atau kalau tidak setanggi maka dibakarlah serbuk
kayu gaharu dan bakaran ini diadakan berterusan selagi mayat itu ada di dalam
rumah. Bahkan ada yang meneruskan bakaran tepak bara dengan gaharu atau
setanggi itu setiap siang dan malam selama tiga hari.
Sementara
menunggu alat-alat kelengkapan mandi, kapan dan keranda mayat itu disiapkan
yang akan mengambil masa beberapa jam lamanya, maka sesiapa daripada kaum
keluarga dan sahabat handai si mati itu yang ingin melihatnya bolehlah
bergilir-gilir masuk melihat mayat dengan hanya menyingkap kain tudung muka
mayat itu. Setiap orang perlulah cermat dan hormat ketika melihat mayat.
Menjadi adat, selagi mayat itu masih berada di dalam rumah hendaklah ahli-ahli
pelawat yang datang berkumpul menziarah dan juga jiran-jiran di sekeliling
rumah mayat itu tidak membuat hingar bingar dan berbual-bual perkara yang tidak
senonoh. Ini adalah diadatkan oleh adat resam Melayu dan dikehendaki oleh
syariat Islam sebagai tanda menghormati insan yang telah pergi buat
selama-lamanya dan menganggap setiap mayat itu akan masuk syurga. Begitu jugalah
dikehendaki ketika mengiringi mayat di sepanjang jalan mayat itu diangkat dan
diiringkan ke kuburnya, di mana bacaan surah al-fatihah disedekahkan sebagai
hadiah kepada roh si mati.
Apabila tiba
masanya mayat itu dimandikan, mayat itu pun diangkat dan dibawa ke tempat yang
disediakan untuk dimandikan oleh tukang mandi perempuan, jika mayat itu
perempuan, atau oleh tukang mandi lelaki, jika mayat itu lelaki.
Memandikan
mayat itu dilakukan dengan tertib dan sehabis bersih. Selesai memandikan mayat
itu, tubuh badannya dilumur serata-ratanya dengan dua jenis serbuk atau kapur
barus dan cendana. Di celah-celah pelipat dan lain-lain tempat yang mustahak
diselitkan dengan kapas, kemudian barulah mayat itu diangkat dan dibawa ke
tengah atau ke serambi rumah itu untuk dikapankan iaitu dipakaikan kain dan
seluar daripada kain putih yang tidak berjahit. Setelah itu, dibungkus atau
disarung mayat itu dengan kain putih yang juga tidak berjahit. Kedua-dua jenis
pakaian yang dipakaikan ke atas mayat itulah yang dipanggil atau dinamakan
kapan mayat. Mayat yang telah dibungkus itu tadi dililit dan diikat dengan
beberapa ikatan dari kaki hingga ke leher kecuali di bahagian kepalanya
dibiarkan tidak berikat untuk sementara waktu. Ini bertujuan pada masa itu
diadatkan kaum keluarga si mati itu dipanggil untuk menaburkan sejemput
daripada serbuk cendana yang memang sediakan, disekeliling kepala mayat itu,
sebagai isyarat atau tanda penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah
selesai adat menabur cendana itu barulah kepala mayat itu dibungkus dan diikat.
Kemudian dimasukkan mayat itu ke dalam sebuah peti yang dipanggil keranda yang
diperbuat daripada kayu yang ringan. Di bawah keranda itu lantainya diregang
tutup dengan sebidang kain putih yang dilekatkan disekeliling papan keranda itu
dengan pin-pin lekap. Setelah itu, keranda itu pun diangkat dan diletakkan di
atas usungan dan ditutup keranda itu dengan beberapa lapis kain panjang yang
elok-elok. Kain lapis pada atas sekali, biasanya diletakkan kain yang bertulis
ayat-ayat Al-Quran. Kemudian barulah dipikul dan diusung oleh orang ramai
dengan bergilir-gilir dan berjalan secara perlahan-lahan ke masjid yang
berhampiran dengan tanah perkuburannya untuk disembahyangkan jika mayat itu
tidak disembahyangkan di rumahnya.
Setibanya di
masjid, diturunkan keranda itu daripada usungannya lalu dibawa masuk ke dalam
masjid dan diletakkan berhadapan dengan mihrab masjid itu dan kemudian
tampillah sekalian haji-haji, lebai-lebai dan juga orang yang mengiringi mayat
itu tadi menyembahyangkan mayat itu.
Selesai
sembahyang mayat, biasanya diedarkan sedekah berupa wang atau benda contohnya
seperti kain pelekat kepada mereka yang telah menyembahyangkan mayat itu tadi.
Setelah itu, mayat itu pun dipikul kembali oleh beberapa orang untuk di bawa ke
kubur yang telah siap sedia digali. Mayat dengan kerandanya itu pun dimasukkan
ke dalam kubur itu. Sebelum ditimbus kubur itu, siak masjid atau sesiapa
berkenaan akan turun ke dalam kubur membuka papan tutup keranda itu dan
mengerengkan mayat itu serta dibukanya ikatan kapannya. Mayat itu disendal
dengan kepal-kepal tanah yang kebanyakannya dikepal oleh keluarga si mati, dan
setelah dibangkan di telinga mayat itu oleh siak maka barulah keranda itu
ditutup dan kubur itu ditimbus dengan tanah.
Selesai kubur
itu ditimbus, dipacakkan sebatang ranting pohon sebagai tanda untuk memacakkan
batu nesan pada kemudian hari. Ada juga yang sudah sedia membawa dua batang
batu nesan untuk dipacakkan pada masa itu juga. Siap sahaja kubur itu ditimbus,
tampillah seorang haji, imam atau orang alim di tepi kubur itu dimana telah
dibentang untuknya duduk sebidang di atas tikar sila atau tikar kecil. Di tepi
kubur itu disediakan setalam bunga rampai atau pelbagai bunga changa dan
disediakan juga satu atau dua balang air cendana. Di atas tikar sila itulah
duduk tuan haji, lebai atau tuan alim membaca talkin dan bertahlil serta
membaca doa untuk si mati itu. Ada juga dahulu, diadatkan orang yang membaca
talkin itu dipayungkan walaupun hari tidak hujan atau cahaya matahari tidak memacar
ke atasnya. Setelah selesai talkin, tahlil dan doa dibaca dan diaminkan oleh
sekalian pengiring-pengiring mayat yang masih ditempat perkuburan itu, lalu air
kedua-dua balang itu pun disiramkan ke atas kubur itu dari kepala sampai ke
bahagian kakinya sehingga habis air di dalam balang itu. Kemudian bunga di
dalam talam itu pun ditaburkan serata di atas kubur itu. Dengan demikian,
selesaiah adat mengkebumikan mayat itu dan bersurailah sekalian yang hadir
ditempat perkuburan itu. Ada juga yang sebelum bersurai, bertemu dan bersalaman
dengan bapa atau waris si mati itu.
Tok alim, tok
imam atau tok lebai, pembaca talkin itu akan diberi bayaran wang sebanyak lebih
kurang dua hingga lima ringgit, ada juga dihadiahkan tikar sila tempat dia
duduk membaca talkin itu dan balang air yang telah dikosongkan. Selain itu,
sesetengahnya menghadiahkan payung yang telah digunakan ketika memayungkan
orang yang membaca talkin tadi.
Seterusnya,kenduri arwah dibuat pada hari-hari ketiga, ketujuh, keempat belas,
keempat puluh dan keseratus kemudian selepas hari mati itu dan kadang kala
setiap tahun mengadakan kenduri arwah sebagai tanda memperingati si mati sambil
membacakan doa-doa sebagai sedekah kepada arwah.
Menguruskan jenazah orang Islam |