Saturday, May 3, 2014
Thursday, February 13, 2014
PANTUN DAN MASYARAKAT MELAYU LAMA
1.0 Pengenalan
Corak hidup masyarakat dan bangsa Melayu pada
zaman dahulu dicerminkan melalui pantun. Za’ba di dalam bukunya bertajuk Ilmu
Mengarang Melayu (1965: 219), mengatakan bahawa penciptaan pantun
merupakan puisi tertua dan milik asal kepunyaan masyarakat Melayu. Umum
menyatakan bahawa pantun adalah ciptaan asli orang Melayu. Ianya bukanlah
adaptasi daripada puisi-puisi Jawa, India atau Cina. Ini bermakna, pantun
merupakan puisi asli yang dimiliki oleh masyarakat Melayu serta paling awal
muncul berbanding puisi yang lain (Harun Mat Piah, 1989: 122).
Masyarakat Melayu lama akrab dengan alam iaitu
alam tumbuhan, alam haiwan dan alam cakerawala.
Masyarakat pada masa tersebut
selalu berinteraksi dengan alam yang berada di sekeliling mereka sama
ada di laut, di hutan, di bendang, di ladang dan di gunung. Harun Mat Piah
(1989: 115) menjelaskan bahawa penggunaan lambang-lambang daripada alam perlu
diketahui untuk memahami maksud pantun. Justeru, pantun sering dikaitkan dengan alam semulajadi
sebagai perbandingan dan perlambangan yang berfungsi sebagai sumber pengajaran
dan nasihat.
Pantun
dapat berfungsi dalam hampir setiap aktiviti kehidupan masyarakat Melayu
(Jamilah Hj. Ahmad, 1993: 114). Terdapat
pelbagai jenis pantun yang mempunyai tema tertentu iaitu berkait rapat dengan
perasaan cinta, kasih sayang, puji-pujian, nasihat, agama, adat, telatah dan
corak hidup masyarakat. Tema yang ingin diketengahkan, disisipkan dengan latar
alam. Oleh sebab alam itu indah, maka unsur-unsur alam diaplikasikan di dalam
setiap rangkap pantun yang disampaikan atau dicipta. Segala pengalaman hidup,
pandangan hidup dan falsafah yang
terdapat dalam pantun menggunakan latar
alam. Unsur-unsur sedemikian secara tidak langsung memperlihatkan keakraban
masyarakat Melayu lama dengan alam semulajadi.
2.0 Definisi Pantun
Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri
daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang
sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam
ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada
kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.
Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu
bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang
bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat
maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan
empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.
Pantun merupakan satu khazanah
bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu.
Penyusunan pantun yang diolah dengan rapi dan disusun indah mengandungi seribu
satu maksud yang amat mendalam, yang menjadi wadah dalam menyampaikan nasihat,
sindiran, gurauan dan luahan perasaan. Setiap lagu dan ungkapan yang digunakan
bukan sahaja memperlihatkan irama yang indah, tetapi juga disusun denngan
begitu teliti agar pemilihan perkataan yang digunakan dapat membayangkan corak
pemikiran yang kritis. Masyarakat Melayu yang amat terkenal dengan budi bahasa
dan budaya ketimuran yang mementingkan “air muka” dan adab sopan telah
menjadikan pantun sebagai alat kritik sosial yang amat berkesan. Penggunaan
pantun sebagai satu alat kritik sosial mencerminkan satu bentuk ketekalan minda
yang dimiliki oleh masyarakat Melayu yang tidak mungkin ditelan zaman.
Sesunggunhnya
jelaslah bahawa pantun ialah bentuk puisi Melayu yang asli dan unik. Ia
merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di Alam Melayu. Akalbudi
orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan
begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya
menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah
bersama penampilan unsur-unsur alam.
3.0 Kaitan Pantun dengan Cerminan Masyarakat Melayu Lama
Pantun
Melayu Lama merupakan cerminan atau
pantulan survival masyarakat melayu lama.Berikut adalah contoh pantun
yang memperlihatkan keakraban masyarakat Melayu lama dengan alam semulajadi:
Buah
cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya
budak baharu belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Penggunaan unsur alam semulajadi seperti
cempedak digandingkan dengan galah yang menjadi alat kebiasaan digunakan untuk
menjolok buah-buahan. Pemilihan kata untuk kedua-dua baris pembayang dihasilkan
dengan teliti sehinggakan dengan hanya menyebutnya sahaja, khalayak dapat mengetahui
dan memahami bahagian maksud yang diujarkan pada baris ketiga dan keempat.
Misalnya dengan hanya menyebut:
Buah Cempedak di luar pagar,
Ambil
galah tolong jolokkan;
Dalam pantun ini secara tidak langsung mempamerkan unsur-unsur menyedari akan
kelemahan dan kekurangan diri dengan harapan memohon bantuan daripada pihak
lain yang lebih berkemampuan. Buah cempedak sepertimana lazimnya, bercambah
dari pangkal pokok hinggalah ke dahan yang tinggi. Buah yang berada di bahagian
luar pagar sudah pasti tumbuh pada bahagian yang tinggi sehingga sukar untuk
dicapai menggunakan tangan. Apatah lagi sekiranya buah tersebut berada di
halaman orang lain, maka perlu meminta keizinan terlebih dahulu untuk
mengambilnya. Bantuan yang diminta bukan dengan tangan kosong tetapi dengan
huluran galah untuk memudahkan orang yang menolong itu melaksanakannya.
Falsafah yang tersirat di sebalik pantun tersebut
secara tidak langsung membawa amanat tentang kepentingan mempunyai sifat merendah diri. Selain itu,
pantun tersebut memancarkan pemikiran masyarakat Melayu lama yang amat
menekankan aspek kesantunan dan budi bahasa dalam kehidupan seharian. Menurut
Harun Mat Piah, 1989: 469, budi adalah berhubung erat dengan jasa kerana jasa
adalah berbudi .Adalah sinonim seseorang individu dapat dianggap membuat jasa
jika dia seorang yang berbudi. Ini
adalah bertepatan dengan ajaran Islam
yang menekankan hubungan baik antara sesama manusia.
Subscribe to:
Posts (Atom)