Sunday, July 17, 2011

pepatah lama atau peribahasa yang berkaitan dengan perahu...

Kemudi patah perahu tembuk maksudnya kemalangan yang silih berganti.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Kura-kura di dalam perahu, pura-pura tidak tahu ~   Bertanya sesuatu yang sudah diketahui.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Ibarat perahu takkan karam sebelah.    Kaum keluarga ikut bersimpati atas kecelakaan yang menimpa kerabatnya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Hendak mengayuhkan perahu tertambat.    Hendak kahwin dengan perempuan yang masih dalam edahnya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Bagai perahu karam sebelah.    Hukuman atau pertimbangan yang kurang adil; berat sebelah. (Peribahasa lain yang sama makna: Bagai limau masam sebelah).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi.    Sesuatu yang membahayakan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Buruk perahu buruk pangkalan.    Tak mahu lagi menginjak rumah isterinya atau tempat bekerja yang telah ditinggalkan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu




Apa digaduhkan: pengayuh sama di tangan, perahu sama di air.    Tidak takut menghadapi lawan apabila sama-sama mempunyai kebolehan.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik.    Sebelum mengeluarkan perkataan hendaklah difikirkan lebih dulu, sebab kalau sudah terlanjur tak dapat ditarik kembali.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Segan (= malu) berkayuh, perahu hanyut.    Kalau segan berusaha tak akan mendapat kemajuan. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Malu bertanya sesat di jalan, malu berdayung [= berkayuh] perahu hanyut, b. Segan bergalah, hanyut serantau).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Sekali perahu lalu, sekali kiambang berkuak.    Dua pihak yang berselisih akan berbaik kembali bila pengacum telah tersingkir. (Peribahasa lain yang sama makna: Biduk lalu kiambang bertaut).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Padang perahu di lautan, padang hati di fikiran.    Fikirkan masak-masak sebelum berbuat sesuatu.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Patah kemudi perahu hanyut.    Rakyat yang kehilangan pemimpin akan kucar-kacirlah jadinya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Pengayuh sama di tangan, perahu sama di air.    Tak usah takut-takut, kerana sama-sama mempunyai kekuatan dan alat syaratnya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Perahu bertambatan, dagang bertepatan.    Melakukan sesuatu hendaklah sesuai dengan tempatnya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Perahu papan bermuat intan.    Sesuatu yang tidak pada tempatnya. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Penyapu diikat sutera, b. Permata lekat di pangkur, c. Seperti penyapu bersimpai dengan benang sutera, d. Seperti sapu diikat dengan benang sutera).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Perahu satu nakhoda dua.    Perempuan yang menduakan suaminya. (Peribahasa lain yang sama makna: Pelesit dua sejinjang).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Malu bertanya sesat di jalan, malu berdayung (= berkayuh) perahu hanyut.    Kalau segan berusaha tak akan mendapat kemajuan. (Peribahasa lain yang sama makna: a. Segan bergalah, hanyut serantau, b. Segan [= malu] berkayuh, perahu hanyut, c. Segan bertanya sesat jalan).    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Licin bagai basuh perahu.    Menderita kerugian.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Limau masak sebelah, perahu karam sekerat.    Hukuman yang berat sebelah kerana memandang orang, kedudukan dan sebagainya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Lain galang, lain perahu yang disorong.    Berlainan perbuatan daripada tujuannya.    Kamus Istimewa Peribahasa Melayu

Friday, July 8, 2011

Sajak- Usman Awang

Berburu  ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril

Pengarang : S.M. Zakir
Genre : Kumpulan Cerpen
Mukasurat : 186 halaman
Cetakan Pertama : 2001
___________________________________________________________________________
Laila
harumanmu menembusi jantungku
bagai wewangian kasturi yang lurut
di taman firdausi menyerbaki langit
dan membakar cinta dengan nyala api
yang tidak mungkin padam
walau matahari sekalipun terpadam

Bagai kuntuman angin yang menyerbaki bunga-bunga, puisi itu lalu menjadi lagu membenahi dadanya, ngilu. Ah! Aku tidak punyai kata seindah itu untuk membalas kerinduanmu, wahai Qais. Walau aku juga punyai rindu yang bukan sahaja melurut kasturi di langit firdausi tetapi bahkan menukari gurun pasir menjadi al-kauthar yang mengalir dari syurga.
Nizami diam memerhatikan Najwa dan Farith menghayati watak mereka. Memperdalamkan rasa bagi memenuhi tuntutan kejujuran sebuah seni. Farhad, Zuhair, Taha, Fatin, Suhaila dan Nabila diam memerhati dengan fikiran melayang ke dalam dialog-dialog yang perlu mereka lafazkan. Sementara Mukriz dan Masood tegak memandang, memikirkan cahaya dan prop yang sesuai untuk set.
Pementasan akan dipersembahkan tidak lama lagi. Sekarang tumpuan harus ditingkatkan sepenuhnya. Nizami tidak dapat dinafikan lagi adalah seorang seniman yang cukup tinggi sentuhan rasa seninya. Di tangannya, lagenda Cyrano de Bergerac yang masyhur itu kini dibaca ke dalam versi Laila dan Majnun yang cukup menyentuh. Hasil sentuhan jari fikir Nizami yang cukup mengkagumkan.
Cyrano de Bergerac adalah seorang tokoh abad ke-17 yang sangat ahli dalam membangunkan dan menghidupkan imaginasi manusia. Dalam kehidupan sehariannya Cyrano adalah seorang pahlawan pedang yang terhebat pada zamannya dan terkenal kerana banyaknya pertarungan pedang yang dihadapinya. Tetapi di samping kegemarannya yang sedemikian itu, Cyrano juga adalah seorang penyair, ahli falsafah dan idealis yang amat menentang kecurangan. Namun dalam kehebatan dan kelebi-hannya itu, Cyrano mempunyai satu kekurangan dalam hidupnya— iaitu dia mempunyai kecacatan yang harus dideritai seumur hidup. Cyrano mempunyai hidung yang terlampau panjang.
Dua ratus tahun kemudian lagenda Cyrano de Bergerac ini kemudian diangkat oleh seorang pujangga romantis Perancis, Edmond Rostand yang menghasilkan sebuah drama bersajak yang sangat masyhur—Cyrano de Bergerac. Cerita itu mengisahkan Cyrano yang sedar bahawa kejelekannya itu menjadi menghalang besar bagi cinta sucinya kepada seorang gadis jelita yang bernama Roxane. Lantaran itu Cyrano dengan rela hati telah menyerahkan curahan cinta Roxane yang tertarik dan terpesona oleh puisi Cyrano yang indah dan memikat hati itu kepada sahabat karibnya, Christian. Sedangkan Christian langsung tidak tahu mengucapkan hatta sebaris puisi pun. Roxane yangjatuh cinta dengan ungkapan-ungkapan indah Cyrano tidak mengenali siapa Cyrano. Sedang Cyrano yang pasti Roxane tidak akan menerima kecacatannya itu, menyerahkan cinta Roxane kepada Christian. Setelah Christian mati di medan perang dan Cyrano dalam saat terakhir nafasnya, barulah Roxane tahu kisah sebenarnya. Cyrano mati dalam kuntuman puisi-puisinya yang tidak sempat dikalungkan kepada Roxane.
Menghidupkan Laila dan Majnun dalam Cyrano de Bergerac, Nizami mendongak ke langit putih dan menunduk ke salji putih. Keputihan langit dan keputihan salji menyatu menjadikan alam seluruhnya putih. Nizami memejamkan matanya mencecap kemanisan angin dan menyerapnya masuk memenuhi takar dada-nya. Agh! Apakah cinta semanis ini?
Nizami membuka mata. Langit berbau zaitun. Putih dan putih seputih-putihnya. Putihnya langit. Putihnya salji. Sehinggakan warna hitam pun menjadi pudar. Agh! Apakah cinta juga seputih ini?
Nizami diam dan kembali menjalarkan ingatannya. Kepada masa-masa lepas yang indah dan menyerikan. Kepada dunia yang pernah memulusi jiwanya. Kepada saat yang pernah rnenyalakan api dalam dadanya.
Laila,
langit kurasakan mati
ketika redup matamu hilang
dari sentuhanku – jejari mataku sepi
dan bibirmu menjadi darah kepada rinduku


Laila menatap puisi Qais. Kata-kata itu membakar tubuhnya seperti api yang membakar Ibrahim a.s. Dingin. Wahai Qais, aku terbakar dalam apimu yang dingin. Kata-katamu adalah api dan aku adalah bahan yang terbakar oleh nyala merahmu. Siapakah kau wahai Qais, yang memenjarakan aku dalam puisi-puisimu.
“Kita perlukan prop tangan.” Mukriz merenung Nizami.
Nizami menongkat dagu. Pandangannya melayang ke hadapan. Mereka berehat di sudut memerhatikan rakan-rakan menjalani latihan. Ujaran Mukriz tadi masuk berdiam di dalam cepu kepalanya.
“Najwa harus mendakap sekuntum kembang…” Mukriz lagi.
“Umm.”
“Prop tangan untuk Farith juga.”
“Umm. Juga prop hias. Dunia romantis harus hidup dan bernafas di dinding, di pentas, di set dan udara di sini.” Nizaini memecah. Dia mahu memastikan bahawa yang hidup bukan sebuah lakonan tetapi sebuah penjiwaan. “Farith perlu lebih bertenaga dan Najwa….” Kata-katanya mati di situ.
“Nabila boleh membantu dengan sketsa kostum.” Mukriz menyambung.
“Ummm…. Romantis. Hidupkan zaman itu.”
“Kostum….”
“Sebelum kostum… ingat. Plot prop. Harus diteliti banyak kali.”
“Prop…” Suara Mukriz tenggelam di situ. Berfikir. Nizami bangun menuju pentas.
“Run through.” Nizami mengatur kembali latihan.
Dunia memang tidak seputih langit. Namun dunia tetap sebahagian daripada langit. Bukankah langit yang melahirkan dunia? Jika langit yang melahirkan dunia, bukankah dunia itu juga adalah langit? Nizami membiarkan perasaannya menerawang bebas. Bercakap semahunya. Walaupun tanpa erti. Laila dan Majnun. Cinta agung daripada sang sufi Hakim Nizami. Bukan sahaja menguntumi dunia sufi tetapi menjalar melemaskan Shakespears hingga menggodanya untuk menggubah Romeo dan Juliet. Tetapi cinta sang sufi ini terlalu agung, dan Majnun itu adalah bayangan cinta sang sufi terhadap Tuhannya. Seperti langit dan salji, ia menyatu dalam warna putih. Seperti sang sufi dan Tuhannya, ia menyatu dalam cinta. Majnun adalah sang sufi dan Laila itu adalah cinta. Dan seluruhnya demi Tuhan.
Najwa. Sebaris nama itu menyentak Nizami.
Cuaca sehari dua ini memang buruk. Salji turun tidak henti-henti. Setiap inci tanah diputihi salji. Cuaca buruk memberikan mereka sedikit ruang rehat. Bandar yang terkepung dan hampir musnah menyisakan sedikit harapan. Letusan sesekali kedengaran jauh. Mereka masih jauh dari bandar ini. Tetapi tidak lama. Itu pasti. Sebentar lagi sisa-sisa harapan ini akan menemui nasibnya. Tidak lama. Pasti tidak lama.
“Farith, katakan saja itu puisi-puisimu.”
“Itu puisimu Nizami. Bagaimana aku boleh mengatakan ia puisiku sedang aku tidak punya walau sepatah kata pun yang dapat aku jadikan puisi.”
“Katakan saja Farith. Segalanya akan berjalan baik. Kau akan menyenangkan Najwa.”
“Nizami. Mengapa? Kau takut kepada cinta?” Suasana sejenak diam.
“Aku telah biasa menyimpan setiap cintaku di dadaku, Farith.”
“Selama mana dadamu dapat menahan bebannya?”
“Selama mana aku dapat melepaskannya dalam puisi-puisiku.”
“Walaupun kau harus menipu dirimu sendiri?”
“Aku tidak mahu mengecewakan hatiku sendiri.”
“Engkau tidak layak menjadi laki-laki.”
“Aku hanya ingin menjadi manusia, Farith.”
Farith, aku adalah laki-laki yang harus sengsara untuk setiap intanya. Salji masih turun lebat. Sehingga dia sudah tidak dapat membezakan antara langit dan bumi. Apakah dia sudah berada di langit? Melihat Majnun yang sedang meribai Laila. Mendengar nyanyian bidadari yang hanyut di setiap liang angin. Menghidu narwastu yang terkibas daripada sayap para malaikat. Agh! Aku berkhayal.
Semasa remaja ketika hatinya berdetak melihat gadis, dia akan segera menahan perasaan itu daripada keluar dari dadanya. Dia menyimpan dan menahannya sehingga dia dapat mele-paskannya dalam kuntuman puisi yang mengulum di bibir angin. Suatu masa dia menjadi begitu bosan dengan cinta sehingga puisinya menjadi benturan kecewa, takut, marah dan benci. Dia cuba lari daripada cinta tetapi setiap kali dia berlari jejaknya tetap berakhir dan rebah di kolam cinta. Akhirnya dia sedar cinta itu bukan duri tetapi sekuntum kembang yang turun dari langit.
Laila,
aku juga mempunyai mimpi
tujuh ekor lembu gemuk ditelan tujuh ekor lembu kurus
tujuh tahun musim semi dan tujuh tahun musim kemarau
tujuh tahun musim semi adalah hari-hariku di mekar redup matamu
tujuh tahun musim sakit adalah rinduku yang kehilangan wajahmu
Itukah mimpi yangkau pintal daripada mimpi Yusuf a.s, ya Qais. Wahai Qais, jika itu mimpimu akulah musim semimu dan musiw sakitmu. Kerana iramaku yang aku sulam dari setiap rinduku akan mengalungi setiap patah puisimu. Tidak mungkin bagiku melepaskan walaupun sepatah puisimu dari dadaku.


“Syabas. Aku kagum sekali.” Nizami berbisik kepada Faritli sebaik sahaja berakhir babak pertama. Tirai ditutup sementani menunggu babak kedua. Dalam latihan akhir atau latihan lengkap dengan kostum ini semuanya akan dijalankan sepertimann persembahan nanti.
“Nizami, karyamu….” Kata-kata Farith terhenti apabila sekujui tubuh genit menyentak perhatian mereka. “Najwa…”
“Aku telah bersedia untuk segalanya. Aku dapat merasakan Laila meresap ke seluruh tubuhku. Agh! Hebat. Memang persembahan ini akan menjadi sesuatu yang bermakna. Aku yakin.” Najwa merenungi Farith. Dan kemudian Nizami. Nizami menunduk.
“Puas hati kostum?” Farith bertanya.
“Nabila mempunyai imaginasi yang sungguh hebat.”
Nizami mengangguk. Farith juga menyetujuinya.
Najwa memandang kedua-duanya. Farith, pemuda Palestin yang tampan dengan bakatnya yang begitu agung. Puisinya bukan sahaja membakar seluruh manusia di sangkar cintanya tetapi seluruh mergastua hangus di gurun asyiknya. Farith, aku adalah antara manusia yang terbakar oleh puisimu. Dan Nizami, warga Mesir yang mempunyai titisan darah Parsi, pemuda misterius pendiam dan pemendam. Seniman yang tajam sentuhan rasanya. Namun sesungguhnya dia adalah manusia yang paling misteri.
“Najwa. Penjiwaanmu sungguh hebat.”
“Semuanya kerana puisimu, Farith.”
Farith tersentak.
Siang dan malam kota ini dibedil tidak henti-henti. Kini langit berjelaga dan salji menjadi hitam. Namun semangat para pejuang adalah Umar Al-Khattab. Nizami merenung kota yang hancur. Kenangan manisnya tenggelam bersama runtuhan kota.
Kenangan manis yang tidak mungkin dapat diulangi lagi. liersemadi dalam lipatan ingatan untuk selamanya. Kenangan bermain teater bersama-sama. Pementasan mereka memang melipatkan sejarah yang paling manis. Bukan sahaja kejayaannya memukau penonton tetapi bahkan telah menukilkan sejarah dunia kesusasteraan. Universiti yang pernah harum oleh nama lqbal ini bagai kembali menyerbaki aroma yang menyihir dunia.
Namun kemudian ia berakhir. Karya itu atau sebarang karya tidak mungkin dipentaskan lagi. Dia mengambil keputusan tidak pulang ke Mesir. Ikwanul Muslimin sedang disasar hebat. Sebaliknya, dengan bantuan Masood anak komander mujahidin Afghanistan itu, dia menuju ke Peshawar menyambung perjuangan As-syahid Abdullah Yusuf Azzam yang syahid di Sab’aa Lail. Dia menyertai Maktab Khadamat atau Mujahideen Services Bureauyang ditubuhkan oleh Abdullah Azzam. Dia kemudian dihantar sebagai tenaga profesional di kem pasukan elit di Sada. Dan kini di bawah langit yang suram ini, nyawanya mungkin hanya sejengkal daripada salam malaikatul-maut. Bersama mujahidin Chechen di Grozny yang hancur.
Farith kembali ke Palestin menyertai HAMAS. Bersamanya ialah Zuhair anak Jordan itu. Mukriz kembali ke Malaysia. Dan Najwa….Najwa mungkin dapat bertemu Mukriz di Malaysia. Najwa mengambil keputusan menetap di Malaysia bersama kedua-dua orang tuanya yang menjadi diplomat di sana. Malaysia negara yang aman. Islam selamat di sana. Bukan seperti di dunia sebelah sini di mana Islam terpaksa dipertahankan dengan darah dan airmata. Tanahair di sini menuntutjihad setiap watannya demi daulah dan ukhwahnya. Syukur, Najwa di Malaysia. Iklim Islam harmoni di sana. Nizami diam tertunduk. Najwa, seluruh jiwaku tumpah kepadamu. Namun kau pun tahu aku seperti Cyrano menderitai kecacatan rupa yang menu tup separuh wajahku dengan tanda lahir yang hitam dan buruk, yang tidak mungkin untuk melafazkan sebarang kata kepada gadis yang dicintainya. Seperti Cyrano akil hanya mampu mengungkapkan puisi demi puisi. Dan seperli Cyrano yang pasti bahawa Roxane tidak akan dapat menerima kecacatannya, aku yang telah memerangkap cintamu dalam sangkar puisiku-menyerahkan seluruh puisiku kepada Farith. Farith adalah yang selayaknya buatmu.
Seperti Cyrano, aku sebentar lagi akan berkubur di si in bersama puisi-puisi yang tidak sempat aku kalungkan kepadamu, Najwa.
Kota Grozny telah mula dimasuki oleh para penjarah Rusia. Bilangan mereka terlalu ramai jika dibandingkan dengan pani mujahidin. Apatah dikuatkan lagi dengan serangan udara yang tidak putus-putus. Kota Grozny hanya tinggal namanya sahaja. Langitnya yang putih dan buminya yang putih bertukar menjadi merah dan hitam.
Ketibaan bantuan makanan, ubatan dan peluru untuk para mujahidin membawa bersama suatu khabar buat Nizami. Walaupun kota Grozny ini dikepung ketat tetapi terowong-terowong di bawah kota ini tidak dapat dikesan oleh para penjarah Rusia itu. Seorang daripada pembawa bantuan itu mengenali Nizami. Dia seorang pemuda Arabjordan yang sama seuniversiti tetapi terkemudian daripada Nizami. Pemuda Arab ini menceritakan tentang Zuhair dan Farith. Zuhair ditemuinya di kem Al-Qaeda, sebuah kem yang ditubuh dan dibiayai oleh Osama Ben Laden. Zuhair keluar dari Palestin berikutan serangan udara dan darat besar-besaran dari¬pada rejim Tel Aviv. Menurut pemuda Arab ini, Zuhair mengatakan Farith adalah antara syuhada yang gugur. Zuhair keluar dari Palestin dan menyertai legasi Osama Ben Laden. Pemuda Arab itu berpisah dengan Zuhair di Al-Qaeda dan tidak mendengar apa-apa berita lagi tentang Zuhair.
Farith! Sahabatku. Engkau memang dilahirkan sebagai seorang laki-laki. Al-Fatihah dan doaku akan mengiringi ruhmu ke syurga. Engkau adalah syuhada yang bakal mengharumijannah.
Letupan dan letusan semakin sengit. Balatentera Rusia telah memasuki keseluruhan Grozny. Para mujahidin diarahkan keluar dari Grozny melalui terowong-terowong bawah tanah. Namun sebahagian daripada para pejuang telah siap untuk syahid di kota para syuhada ini.
Sebuah letupan kuat tepat di kedudukan Nizami.
Pemuda Arab tadi berpatah balik ke arah Nizami. Namun dia hanya sempat menampung sekujur tubuh yang sakaratulmaut.
“Langit… sungguh putih… aku melihat kembang… yang turun… dari sana… langit.”
Pemuda Arab itu melafazkan kalimah syahadah ke telinga Nizami. Kalimah syahadah disambut Nizami. Bergetar dan menjalar di salji yang merah.
“Sayap… malaikat… Jibril” Kemudian tiada getar yang
menyapa salji, langit, kota, getir.
Di atas langit berjelaga. Di bawah bumi merah saljinya.
Malaysia teguh, aman dan damai. Najwa tidak sabar lagi menunggu kedatangan Mukriz. Sejak mereka berpisah di universiti dahulu, dia tidak pernah bersua muka dengan seorang pun daripada mereka. Kali terakhir hanya berjumpa Nabila yang balik ke Qatar kerana telah dipinang sepupunya, jutawan minyak. Selepas itu dia terputus hubungan dengan sahabat-sahabatnya. Najwa kemudiannya meninggalkan Mesir mengikuti kedua-dua orang tuanya ke Malaysia. Tidak beberapa lama di Malaysia, Najwa berusaha menghubungi Mukriz, pemuda Malaysia yang pintar dan kreatif itu. Dan tidak lama, negara yang lengkap infrastruktur komunikasi dan segalanya ini menemukannya dengan Mukriz.
“Mukriz.” Najwa telah ternampak Mukriz di pintu lobi. Mukriz kelihatan berisi. Dari jauh Mukriz tersenyum.
“Apa khabar Laila.” Mukriz menyapa Najwa, yang kelihatan begitu gembira.
“Laila sekarang kehilangan Majnun, boleh tolong carikan Majnun, Laila, Mukriz.” Najwa bergurau membalas sapaan Mukriz. Mukriz sedikit terpinga namun perubahan itu tidak terkesan oleh Najwa.
“Mari kita ke kafe.”
Najwa mengikuti jejak Mukriz ke kafe, sambil mulut sibuk bertanya. Tidak sabar untuk mendengar berita sahabat-sahabat tercinta di universiti dahulu.
Mereka minum berbual tentang karier, kehidupan, kenanga 11 manis ketika sama-sama berteater hingga kepada puisi Iqbal dan Rumi.
“Najwa. Aku ada khabar untukmu. Aku harap engkau dapai menerimanya sebagai sebahagian daripada takdir yang kitajalani.” Mukriz perlahan-lahan membawa Najwa kepada satu ruang rasa yang lain. Rasa terhadap sesuatu yang sukar dan payah.
Najwa tunak memandang Mukriz. Mukriz menarik nafas. Mengatur ayat dan kata yang dihafaznya sejak Najwa menghubu-nginya di Malaysia.
“Najwa, tahukah bahawa Cyrano itu memang benar-benar wujud.”
“Mukriz, kelucuan apa yang kau ingin nyatakan ini.” Najwa ketawa kecil.
“Antara kita, Cyrano itu muncul di dalam realiti pementasan kita.”
“Mukriz, kau ingin menjadi Cyrano pula.” Najwa masih tidak dapat mengesani.
“Majnunmu Najwa. Majnunmu adalah Cyrano.”
“Um?” Najwa ingin ketawa tetapi dia melihat Mukriz serius sekali.
“Tahukah wahai Laila, puisi-puisi yang membakar cintamu itu bukan dari Farith. Sama sekali tidak.”
Najwa merenung Mukriz dalam. Perasaannya mula gementar. Semua berubah dalam saat ini.
“Puisi-puisi itu adalah daripada Nizami untuk seorang gadis yang dicintainya, bernama Najwa.”
Begitukah? Puisi-puisi yang begitu bening mulus itu selama ini menipuku dengan cintanya yang penakut. Mengapa dia tidak menjadi laki-laki? Mengapa dia lari daripada berdepan dengan kenyataan? Mengapa dia mengorbankan aku? Mengorbankan Farith? Mengorbankan dirinya? Takut? Laki-laki apakah Nizami ini?
Wajah Farith dan Nizami bersilih ganti muncul di fikiran Najwa.
“Doakan mereka Najwa. Semoga ruh mereka dicucuri rahmat.”
Najwa mendongak Mukriz. Pementasan apa pula ini Mukriz?
“Farith menyertai HAMAS dan syahid di tanah suci Palestin. Nizami menyertai legasi As-Syahid Abdullah Yusuf Azzam di Peshawar. Menjadi tenaga kepada pasukan elit Maktab Khadamat. Nizami syahid di Grozny.”
Airmata. Apakah ia mempunyai nilai di sini?
“Farith, sebelum pulang ke tanahairnya pernah mengatakan kepadaku bahawa dia tidak mungkin mencintai selain dari agama dan tanahairnya.” Mukriz bersuara amat perlahan.
Farith, kini aku tahu mengapa kau menolak cintaku. Engkau mengatakan bahawa engkau tidak mahu melihat kehilangan di hadapan matamu lagi, setelah keluargamu dibungkas granit Tel Aviv di hadapan matamu sendiri. Dan engkau merasakan bahawa setiap orang juga tidak mahu melihat kehilangan di hadapan matanya. Cinta itu benar tetapi agama itu lebih benar.
“Nizami tidak mahu keluar dari Grozny.”
Nizami, mengapa engkau lari begitu jauh menghindari kenyataan yang sepatutnya kau hadapi. Apakah kerana darah syuhada-syuhada Ikhwan Muslimin yang mengalir di dalam tubuhmu itu tidak mengizinkan mereka mencintai yang lain selain daripada perjuangan mereka? Dan menjadikan jiwamu terpe-rangkap antara dirimu dan mereka? Najwa tiba-tiba teringat kata-kata Nizami. Itulah pertama dan terakhir Nizami bercakap empat mata dengannya. “Najwa, Laila itu adalah cinta yang membawa Majnun kepada Tuhan. Laila itu bukan manusia bukan syahwat tetapi cinta. Laila itu sekuntum kembang yang turun dari langit untuk dihirup kesegaran harumnya oleh para abid dan para sufi. Dan begitu juga, setiap perjuangan suci itu adalah cinta yang muncul sebagai sekuntum kembang yang mekarnya demi Tuhan.”
Nizami, engkau juga pernah mengatakan bahawa cinta yang dipunyai Majnun bukan cinta syahwat tetapi cinta yang turun dari langit. Cinta Majnun adalah cinta para sufi yang meleburkan diri asyik ke dalam masyuknya. Cinta Majnun adalah sekuntum kembang yang tersisip di sayap Jibril.
Cintamu Nizami?
Airmata sememangnya tidak mempunyai apa-apa erti di sini.
Namun ia tetap mengalir memenuhi kolam yang tidak pernah kering. Cinta.
* * *
Di atas salji yang basah, sekujur tubuh terbujur menghadap kiblat. Wajahnya menantang langit. Di atas dadanya terbaring sekuntum kembang yang tidak pernah wujud di tanah salji ini.
Langit berbau zaitun. Putih seputih-putihnya.

Mingguan Malaysia, 14 Mei 2000