Saturday, June 11, 2011

UNSUR-UNSUR BAHASA DALAM LARAS SASTERA

3.0 UNSUR-UNSUR BAHASA DALAM LARAS SASTERA
Unsur-unsur bahasa dalam laras sastera adalah bersinonim dan berkait dengan keindahan berbahasa. Kebijaksanaan pengarang menggunakan kreativiti dan imaginasinya dalam berkarya akan dapat meninggalkan kesan kepada pembaca apabila mereka menghayati karya sastera yang di baca. Hal ini disebabkan pembaca kesusasteraan sentiasa sensitif dan merupakan pembaca yang sudah
terbekal dengan intuisi stilistik (Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz, 1998: 71).
Terdapat beberapa elemen bahasa dalam laras sastera iaitu diksi, bahasa ambiguiti,bahasa ekonomis,bahasa konotatif,bahasa perbandingan,dialog dan unsur monolog.
Diksi
Diksi ialah pemilihan dan penyusunan kata dalam puisi dan prosa. Ada penulis yang menggunakan istilah "diksi" untuk merujuk kepada pemilihan kata semata-mata sementara cara kata disusun menjadi baris dinamai "sintaks". Perkara yang
diutamakan dalam pemilihan dan penyusunan itu ialah ketepatan, tekanan, dan keistimewaan..
Diksi dianggap penting kerana harus bersesuaian denga tema dan persoalan cerita yang diutarakan oleh pengarang. Pemilihan kata-kata hendaklah selaras dengan nada cerita serta watak-watak dalam cerita.
Contohnya dalam Cerpen Tina karya Aminhad , pengarang telah memasukkan kata-kata yang bersesuaian dengan isi cerita yang bertemakan kasih sayang dan kerinduan seorang abang kepada adiknya yang telah meninggal dunia . Antara kata yang digunakan ialah teringatkan, kacaunya perasaan, terbujur, sakit jantung dan mati.

Pemilihan diksi dalam cerpen ‘Sekuntum Senyum di Sayap Jibril’ adalah puitis dan menarik serta bersesuaian dengan temanya iaitu cinta kepada manusia, agama dan Pencipta Nya. Perkataan laila,majnun,cinta,Tuhan,putih,manis,sufi syahid dan lain-lain menggambarkan mesej cinta yang terpendam dan kesanggupan untuk mati syahid kerana mempertahankan cinta kepada agama dan negara. Wujudnya puisi Laila dan Majnun yang puitis menguatkan jalinan cerita cerpen ini dan memberi kesan emosi yang romantis kepada pembaca.
Pemilihan diksi dalam Sajak Manusia dan Kesejahteraan ini adalah bersesuaian dengan temanya iaitu kerosakan akhlak manusia pada zaman ini. Antara perkataan yang digunakan ialah kekejaman mengatasi kedamaian (1:2),
tak siapa mau beralah (1:4), kejujuran mati di hati (2:4) menunjukkan pengarang bijak memilih diksi yang dapat menggambarkan kesejahteraan kehidupan manusia yang semakin terhakis di tengah-tengah perlumbaan mengejar kuasa dan kekayaan. Rangkaikata daripada bahasa Inggeris juga digunakan iaitu ‘Run through’ untuk menunjukkan situasi latihan pementasan

Ambiguiti bermaksud kepelbagaian makna dan disebut juga sebagai ketaksaan.
Hasil penulisan yang berunsurkan ambiguiti mempunyai kemungkinan pelbagai tafsiran iaitu lebih daripada satu tafsiran. Ambiguiti atau ketaksaan bermaksud unsur kekaburan dan ketidakjelasan.Penggunaan imejan boleh menimbulkan

unsur ambiguiti. Melalui penggunaan unsur imejan, mesej disampaikan lebih jelas. Unsur imejan kadang kala berbentuk imejan mental iaitu membicarakan tentang perasaan dan perkaitannya dengan indera seseorang.
Contoh dalam Sajak Manusia dan Kesejahteraan unsur ambiguti dapat dilihat pada ayat Kelelahan kita semakin parah tenatnya .( rangkap 1 baris 1 )

Langit berbau zaitun dalam cerpen ‘Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril’m/s 72
(perenggan 2 baris 4).
Pembaca boleh mentafsirkan baris ini mengikut andaian-andaian mereka sendiri berdasarkan pemahaman masing-masing.

Bahasa Ekonomis
Bahasa ekonomis ialah bentuk gaya bahasa yang ringkas, padat, tepat dan pendek-pendek. Pemilihan perkataan walaupun agak pendek tetapi masih berupaya menjelaskan isi cerita atau peristiwa dengan tepat dan menarik. Bahasa ekonomis dapat mengelakkan rasa bosan atau jemu pembaca jika dibandingkan
dengan bahasa yang meleret-leret. Dalam cerpen ‘Tina’ pengarang menggunakan ayat , ‘Tina terlopong’ m/s 55,baris 3 dan ‘Belajarlah bersabar’
(m /s 57 baris 2).
Dalam cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, contoh bahasa ekonomis ialah , ‘Cintamu Nizami ?’(m/s 71, perenggan 7 baris 1)

Bahasa Konotatif ialah bahasa yang mempunyai maksud perbandingan. Pengertian dalam bahasa ini merupakan pengertian yang tersirat . Dalam cerpen ‘Sekuntum Kembang di Sayap Jibril’ ,bahasa konotatifnya ialah:
a)Langit kurasakan mati ketika redup matamu hilang (m/s 63 ,baris 2)
b) Di atas langit berjelaga. Di bawah bumi merah saljinya.(m/s 69,
perenggan 6 baris 1 ).
Keistimewaan penggunaan bahasa konotatif ialah ia dapat menimbulkan kesan
emosi kepada para pembaca.

Unsur laras bahasa seterusnya ialah bahasa perbandingan. Elemen dalam bahasa perbandingan ialah metafora,simile,hiperbola,personifikasi, dan perlambangan.
Penggunaan unsur bahasa perbandingan ini dapat meninggalkan kesan dan jalan cerita dalam sesebuah cerpen. Antara unsur bahasa perbandingan dalam cerpen ini ialah metafora,personifikasi,hiperbola,peribahasa

Bahasa Perbandingan:
Metafora
Metafora merupakan bahasa kiasan dalam laras sastera yang tidak menggunakan kata-kata bandingan seperti simile. Kiasan jenis metafora merupakan kiasan yang menyebut terus kepada benda atau binatang yang hendak diumpamakannya. Perbandingan metafora lebih ringkas dan padat.
Dalam cerpen Sekuntum Kembang di Sayang Jibril’ unsur metaforanya ialah bibirmu menjadi darah kepada rinduku (m/s 63 perenggan 4:5)
Contoh metafora dalam cerpen ‘Tina’ ialah:
Getar dan debar hatiku menggila pada kali pertama aku melihat dia, dalam cerpen Tina ( m/s 52 Perenggan 1, baris 1)
Personifikasi
Unsur yang menggunakan kiasan untuk memberikan sifat manusia daripada segi perasaan, perlakuan dan sebagainya kepada benda-benda mati, idea, binatang dan lain-lain yang mujarad. Kata yang menjadikan benda atau binatang seolah-olah manusia. Sifat-sifat manusia seperti perasaan dan keinginan diberikan kepada benda, binatang dan seumpamanya menjadikannya seperti manusia.
Contoh unsur personifikasi dalam cerpen Tina ialah:
Dalam kesepian itu, seolah-olah aku melihat pokok-pokok yang longlai dipuput bayu melihat kemurungan yang menyerang jiwaku( m/s 52,perenggan 4:1)

Hiperbola
Hiperbola menggambarkan karya sastera yang mempunyai unsur yang agak keterlaluan atau berlebih-lebihan seoalah-olah tidak masuk akal.

Namun demikian, perbandingan atau cerita yang digambarkan itu masih menarik dan indah. Tujuannya adalah untuk memperhebat serta meningkatkan kesan dan pengaruh dalam kalangan pembaca. Gaya bahasa ini melibatkan kata-kata dan kalimat. Unsur hiperbola dalam Cerpen Tina ialah :
Tina mungkin terfikir dengan cara itu sahaja layang-layang akan naik kembali. Menegak dan akan mencapai awan. (m/s 55 perenggan 1,baris 3

Unsur Perlambangan
Merupakan kata-kata yang digunakan untuk menerangkan sesuatu benda, keadaan atau peristiwa yang membawa maksud yang lain atau maknanya lebih mendalam.
Dalam cerpen ‘Sekuntum Kembang di Sayang Jibril’ unsur perlambangannya ialah dalam ayat apakah cinta juga seputih ini ? (m/s 63 p2:b 2 )
Perkataan putih (m/s 63 p2:b 2 ) melambangkan cinta yang rohani dan suci .
Langit nya yang putih dan buminya yang putih bertukar menjadi merah dan hitam.(m/s 63 p3:b 5) Perkataan merah melambangkan darah dan perkataan hitam melambangkan keadaan yang sengsara.

Peribahasa
Peribahasa adalah sejenis ungkapan yang membawa maksud kiasan ataupun maksud yang berbunga-bunga. Ia sering digunakan oleh nenek moyang kita untuk menyampaikan maksud dengan cara yang lebih terselindung atau untuk
menyindir dengan bicara yang lebih sopan. Kini, masyarakat moden menggunakan peribahasa dalam pertuturan atau penulisan untuk mengindahkan lagi penggunaan Bahasa Melayu.

Peribahasa yang terdapat dalam Cerpen ‘Tina’ ialah:
Masuk bakul angkat sendiri (m/s 57,perenggan 4 baris 1)
Kan sabar itu separuh daripada iman ! (m/s 57,perenggan 2, baris 2)


Dalam sajak Manusia dan Kesejahteraan terdapat peribahasa seperti:
.......... bermuka dua (3:4)
.......... titik pertemuan ((1:3)

Tujuan pengarang memasukkan unsur bahasa perbandingan untuk menjelaskan lagi maksud yang hendak disampaikannya dan seterusnya dapat menarik minat pembaca untuk meneruskan pembacaan mereka. Jelasnya bahasa perbandingan ini dapat memperlembutkan makna percakapan dan mengindahkan bahasa.
(Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz,1998 : 74)
Unsur Penegasan
Unsur penegasan boleh didefinisikan sebagai unsur yang dapat menjelaskan makna sesuatu agar menjadi lebih nyata hasil daripada pemikiran pengarang. Jelasnya unsur penegasan dalam sesebuah karya kesusasteraan merujuk kepada penjelasan, penentuan atau penerangan yang nyata untuk menjelaskan sesuatu hal. Unsur-unsur perulangan,anafora dan epifora termasuk dalam unsur penegasan ini.Menurut Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz, 1998: 79, ketiga-tiga unsur ini mempunyai kekuatan yang tersendiri untuk menegaskan sesuatu maksud.

Unsur penegasan dalam kesusasteraan selalunya digarap oleh pengarang dalam bentuk puisi. Penulisan kata (atau bahagian kata), ungkapan, baris (atau bahagian baris), atau rangkap secara lebih daripada sekali. Tujuannya ialah untuk menegaskan maksud atau menimbulkan pengucapan yang berirama dan indah.Unsur perulangan bentuk anafora dalam Sajak Manusia dan Kesejahteraan ialah :
“tambah mengimbau sorotan kitab .... (5 : 1 )
“tambah mengimbau sorotan kitab..... (5 : 2)

Tujuan penggunaan unsur perulangan adalah untuk menegaskan maksud dan menimbulkan nilai estetik melalui bunyi yang berirama dan indah.
Dialog
Dialog boleh didefinisikan sebagai kata-kata yang dituturkan oleh watak-watak dalam drama atau fiksyen. (Kamus Dewan,1994:302). Dialog adalah kata-kata perbualan antara dua watak atau lebih sama ada berbentuk lisan ataupun bertulis dalam karya-karya sastera dalam sesebuah drama atau fiksyen.Contoh dialog dalam cerpen ‘ Sekuntum Kembang di Sayap Jibril ialah’, pada halaman 66, perenggan 7 baris 1 dan 2 iaitu :
“ Najwa. Penjiwaanmu sungguh hebat.”
“ Semuanya kerana puisimu, Farith.”

Dalam cerpen Tina dialognya pada muka surat 58, perenggan 6:
“ Nak beri apa kalau saya dapat jadi johan? ”
“ Lima ringgitt,” aku mencabar.
“ Betul lima ringgit?”

Monolog
Unsur monolog adalah salah satu unsur yang biasa digunakan dalam karya kesusasteraan. Umar Junus dalam bukunya Stilistik, Satu Pengantar
mendefinisikan monolog adalah lawan kepada dialog iaitu hanya seorang yang bercakap. Daripada definisi ini dapatlah dirumuskan bahawa monolog bermakna hanya seorang watak yang bercakap seorang diiri, biasanya watak utama dalam karya tersebut tanpa ada tindak balas daripada orang lain. Percakapannya itu diluahkan dan didengari oleh watak tersebut dan mungkin juga watak-watak di sekelilingnya (Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz, 1998: 88)
Umumnya monolog boleh dibahagi kepad dua jenis iaitu monolog luaran dan monolog dalaman . Monolog luaran bermaksud monolog yang dilafazkan sementara monolog dalaman adalah monolog di dalam hati.( Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz, 1998:90).
Unsur monolog dalam cerpen ‘Tina’ ialah :
a) ‘Tinaaa!’ ‘ Abang rindu!’ m/s 57 (perenggan 8 baris 2)
b) Aku tak mahu, dia yang kukenal akan melalui peristiwa yang sama.
Oh, Tuhanku.Jangan! ( m/s 61 perenggan 6 baris 2 )

Dalam cerpen ‘ Sekuntum Kembang di Sayap Jibril’ unsur monolognya ialah:
Cintamu Nizami? m/s 71 perenggan 7 baris 1

Rumusannya, laras bahasa adalah variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsinya.Laras bahasa sastera atau disebut juga sebagai laras kreatif yang bermutu memerlukan kejelasan, perpautan, kesatuan serta bentuk stailistik yang dipelbagaikan. Huraian di atas menunjukkan beberapa contoh unsur dalam laras bahasa yang menjadi aksesori dalam sesebuah penulisan.

4.0 BAHASA PERBANDINGAN
Salah satu gaya bahasa yang sering digunakan di dalam penulisan mahu pun pertuturan seharian ialah bahasa perbandingan. Bahasa perbandingan boleh dibahagikan kepada dua, iaitu bahasa perbandingan yang menunjukkan persamaan dan pertentangan. Menurut Kamus Dewan, ‘bahasa’ boleh ditakrifkan sebagai suatu sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Bahasa juga bermaksud kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang di dalam percakapan atau tulisan.

Kamus Pelajar mendefinisikan , ‘perbandingan’ sebagai persamaan. Oleh itu, bahasa perbandingan boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan untuk memerihalkan sesuatu perkara atau kejadian tanpa memberitahu secara terus. Penyampaian sesuatu maklumat dan perasaan serta mesej yang hendak disampaikan. diungkap melalui beberapa rangkai kata atau pun perkataan. Elemen-elemen yang terkandung di dalam bahasa perbandingan
ialah gaya bahasa personifikasi, metafora, simile dan banyak lagi.

Fungsi Bahasa Perbandingan
Bahasa perbandingan berfungsi untuk menerangkan sesuatu secara berkias. Secara tidak langsung ia akan dapat menjaga perasaan terhadap sesuatu yang ingin disampaikan. Ini bersesuaian sekali dengan situasi masyarakat kita yang tidak suka berterus-terang dalam berbicara.
Selain itu, bahasa perbandingan digunakan untuk menyamakan sesuatu benda dengan sesuatu keadaan atau peristiwa yang lain. Unsur metafora misalnya, digunakan untuk membandingkan sesuatu benda dengan keadaan atau pun peristiwa yang lain dengan cara menyatukan sesuatu perkataan yang maujud dengan keadaan yang abstrak. Di sini secara tidak langsung, pembaca akan mengetahui maksud perkataan tersebut dengan melihat unsur yang telah digabungkan. Bahasa perbandingan juga dapat membangkitkan jalan cerita atau plot dan huraian sesebuah karya dan sebagai penyeri terhadap sesuatu hasil karya tersebut. Ia juga adalah sebagai penyeri jalan terhadap isi cerita. Seterusnya bahasa perbandingan ini dapat menjadi penambah daya tarikan
kepada cerita supaya ceritanya tidak kering atau hambar dan menjemukan
pembaca.
Bahasa perbandingan juga digunakan untuk menggambarkan atau melukiskan watak dalam sesuatu karya dan memberi pengajaran kepada pembaca tentang akibat daripada sesuatu perbuatan yang tidak baik. Contoh bahasa perbandingan ialah bagaikan harimau kehilangan belangnya boleh membawa maksud seseorang yang berkuasa dalam sesuatu hal, tetapi telah kehilangan kuasa akibat daripada tindakannya yang tidak baik.

Terdapat beberapa contoh bahasa yang menunjukkan perbandingan yang sering
digunakan di dalam sesebuah penulisan karya. Antaranya ialah seperti berikut:
(a) Simile
Unsur simile dalam cerpen Tina ialah :
‘bagai kuntum bunga yang mulai mekar (m/s 54 p8 b1)
Unsur similie dalam cerpen ‘Sekuntum Kembang di Sayap Jibril ialah ,
‘ Kata-kata itu membakar tubuhnya seperti api yang membakar Ibrahim a.s ’
(m/s 63, 5:2)
(b) Personifikasi
Personifikasi ialah perlambangan sifat-sifat manusia yang diberikan kepada
benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak. Contoh dalam Sajak Manusia dan Kesejahteraan ialah ketuaan dunia akan tenggelam juga (3:2) dan
kejujuran mati di hati (1: 4)
Dalam cerpen Tina .....pokok-pokok yang longlai (m/s 1 perenggan 4: baris 2)
Sifat tua, jujur dan longlai adalah sifat manusia, Namun sifat tersebut dipadankan dengan objek bukan manusia iaitu dunia , hati dan pokok-pokok.

Kesannya pembaca dapat merasai elemen-elemen tersebut hidup seperti manusia.
Unsur personifikasi ialah yang kedua ialah menjadikan benda atau binatang seolah-olah manusia. Sifat-sifat manusia seperti perasaan dan keinginan diberikan kepada benda, binatang dan seumpamanya menjadikannya seperti manusia. Contohnya ialah seperti di bawah ini :
Dalam cerpen Tina contoh personifikasi ialah pada ayat basikal yang sudah terbaring (m/s 55 : 7) dan tersambar oleh cuping telingaku suara ambulans (m/s 61:4) dan layang-layang kematian angin ( m/s 54: )

Daripada contoh di atas basikal terbaring, ambulans bersuara dan layang-layang mati menjadikan benda itu seolah-olah seperti manusia.

Dalam cerpen ‘Sekuntum Kembang di Sayap Jibril unsur personifikasinya
ialah :
i)......rebah di kolam cinta ( m/s 65 p5: b7 )


ii) Puisinya bukan sahaja membakar seluruh manusia di sangkar cintanya
(m/s 66 p7:3)
Dua contoh unsur personifikasi di atas menggunakan kiasan untuk memberikan sifat manusia daripada segi perasaan, perlakuan dan sebagainya kepada benda-benda mati.

(c) Metafora
Gaya bahasa metafora adalah perbandingan secara langsung, iaitu ia memberi sifat sesuatu objek itu secara perbandingan terus. Terdapat dua jenis metafora
iaitu:
(i) Metafora yang tidak memerlukan kata-kata perbandingan seperti bagaikan,laksana dan bagai. Contohnya dalam Cerpen ‘Sekuntum Kembang di Sayap Jibril’ ialah Cinta Majnun adalah sekuntum kembang yang tersisip di Sayap Jibril (m/s 71 p7:b 5)
Dalam sajak ‘Manusia dan Kesejahteraan’ metaforanya ialah :
kelelahan kita semakin parah tenatnya (1 : 1)
(ii) Metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak. Contohnya serpihan harapan (m/s p b )dalam Cerpen ‘Sekuntum Kembang di Sayap Jibril’ dan neraka kecintaan (4:3)dalam sajak ‘Manusia
dan Kesejahteraan’



d) Eufemisme
Bahasa yang digunakan untuk tujuan memperhaluskan kata atau ucapan disebut sebagai eufemisme. Ia juga dikenali sebagai ucapan atau ungkapan lembut.
Misalnya, perkataan merogol akan lebih indah dan sopan digantikan dengan memperkosa. Contoh dalam cerpen Tina bahasa eufemise ialah :
‘Tapi sekarang, Tina dah tak ada lagi. ’m/s 61 Perkataan dah tak ada lagi digunakan bagi menggantikan perkataan mati yang bersifat bahasa kasar.

e)Alegori
Alegori adalah cerita yang digunakan sebagai lambang yang digunakan
untuk pendidikan. Watak binatang dijadikan sebagai objek untuk menonjolkan gaya bahasa ini. Contohnya, . watak Sang kancil selalu digunakan untuk melambangkan seseorang yang bijaksana. Elemen alegori ini menggunakan watak binatang sebagai pelakon utama di dalam sesebuah cerita. Antara watak yang biasa digunakan ialah seperti monyet, kura-kura, ular, kucing dan anjing. Tidak ada contoh alegori dalam petikan pengkaji dalam kajian ini.

(f) Antilesis
Gaya bahasa ini adalah bahasa yang membandingkan dua perkara yang
berlainan di dalam masa yang sama. Setiap ayat yang dibina mesti terdiri
daripada dua frasa ayat yang mempunyai makna yang bertentangan. Gaya
bahasa ini banyak digunakan di dalam sesebuah penulisan karya sastera
mahu pun di dalam perbualan seharian.
Dalam Sajak Manusia dan Kesejahteraan, unsur antilesisnya ialah hanya kesejahteraan membunga api (5:3)

Kesimpulannya, bahasa perbandingan terdiri daripada unsur gaya bahasa
yang membandingkan sesuatu perkara yang mempunyai pertalian yang
sama dan berbeza. Sebagai contoh, gaya bahasa simile digunakan untuk membandingkan dua perkara yang mempunyai persamaan. Gaya bahasa ini amat penting dalam membentuk ayat yang gramatis di dalam penulisan sesebuah karya. Di samping itu, ia juga digunakan di dalam kehidupan kita seharian.
Sesebuah penulisan itu tidak akan menarik pembaca untuk menghayatinya secara efektif sekiranya tidak ada unsur-unsur perbandingan di dalamnya

No comments:

Post a Comment