Saturday, June 11, 2011

stilistik

Stilistik ialah ilmu tentang stail atau gaya yang dihubungkan dengan penggunaan bahasa. Stilistik ialah gabungan disiplin linguistik untuk mengkaji dan meneliti karya-karya sastera. Ilmu tersebut diperluas dalam bidang kesusasteraan sebagai wahana pengucapan. Kesan penerapan daripada disiplin linguistik tercetuslah ilmu gaya yang membezakan gaya sastera dan gaya bukan sastera.

Mengikut Kamus Linguistik Edisi ketiga, stilistik boleh didefinisikan sebagai ilmu yang membuat penyelidikan tentang bahasa yang digunakan dalam karya sastera atau ilmu yang bersifat interdisiplin antara lingustik dan kesusasteraan ataupun penerapan linguistik pada penelitian gaya bahasa.

Stilistik ialah satu kajian stail yang melibatkan bentuk atau bahasa dan isi kesusasteraan. Ia meliputi kajian mengenai teknik pemakaian bahasa di dalam penulisan dan teknik yang mengkaji segala kemungkinan yang berkaitan dengan gaya bahasa penulisan kesusasteraan yang semata-mata untuk mendapatkan kefahaman sebenar tentang teks kesusasteraan
(Nik Hassan Basri: 378).
Stilistik merujuk kepada penggunaan prinsip-prinsip linguistik terhadap bahasa sastera. Stilistik atau ilmu gaya dapat diangap sebagai kajian variasi linguistik. Variasi linguistik ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konteks teks dan konteks situasi. Stilistik mempunyai hubungan yang rapat dengan disiplin sosiolinguistik dan dialektologi. Kedua-duanya pula merupakan cabang linguistik.

Stilistik boleh dibahagi kepada dua perkara. Pertama, ialah kajian tentang kelainan bahasa yang mengandungi bentuk gaya bahasa pengulangan, penyirnaan, perbandingan, pertautan dan pertentangan. Peribahasa, sindiran dan gaya retorik juga termasuk dalam kelainan bahasa. Ciri yang kedua ialah

pemakaian bahasa yang termasuk segala yang tercakup dalam linguistik seperti fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik.
Pengkajian bahasa stilistik secara umumnya boleh dibahagi kepada lima bahagian. Pertama ialah gaya bahasa perbandingan seperti mejan, metafora,personifikasi,pleonasme dan simile. Kedua ialah gaya bahasa pertautan Contohnya ialah sinekdok,eufemisme,epitet,antonomasia,eponim, metonimia dan alusi.Ketiga ialah gaya bahasa penyirnaan. Contohnya ialah sinkof,afesis,akronim,apokop, elipsis dan aferisis. Seterusnya ialah gaya bahasa pengulangan atau repetisi. Antaranya ialah asonansi.aliterasi,anafora dan epifora. Kelima ialah gaya bahasa pertentangan iaitu hiperbola inversi dan paradoks.

No comments:

Post a Comment