Saturday, December 18, 2010

PENGERTIAN KESUSASTERAAN

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan untuk memberi makna kepada kata
‘kesusasteraan’. Hashim Awang menyimpulkan erti kesusasteraan sebagai ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Kesusasteraan berasal daripada cantuman kata ‘su’ dan ‘sastra’ dalam bahasa Sanskrit. Kemudian diberi apitan ‘ke…an’ untuk membentuk kata nama. Makna-maknanya adalah seperti berikut :
                    su                             =        baik, indah, cantik, dan berguna
                    sastra                        =        karya ( lisan/bertulis ) atau buku
                    susastra                     =        karya yang indahdan berguna
                    kesusasteraan             =         semua bentuk karya bernilai   seni dan berguna

Berdasarkan huraian-huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan merupakan kesemua hasil seni yang disampaikan melalui bahasa dan ia ditujukan kepada pembaca bagi karya bertulis atau penonton drama. Istilah kesusasteraan Melayu merujuk kepada karya-karya kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Shahnon Ahmad (1991),   menegaskan  bahawa  sastera sebagai   seismograf   kehidupan iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia   dan  masyarakat. Melalui sastera, banyak yang dapat dipelajari. Bagi Shahnon,   sastera   sangat   diperlukan untuk melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. Melalui sastera masyarakat  juga
dapat mempelajari sejarahnya untuk memperbaiki kehidupan mereka. Menurut A. Samad  Said ( 1998 ),  melalui sastera ditemui unsur moral,  keindahan,   hati   nurani ,   keadilan, ketakwaan, kebijaksanaan, dan tazkiyah dan disampaikan secara sederhana,  tetapi  amat berkesan dijiwa.

Usman Awang (1995)   menulis   bahawa   sastera  meliputi  semua  aspek   kehidupan manusia secara meluas. Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa.  Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan  penuh  kesedaran tentang mesej dan keindahan.  Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberikan kekuatan keindahan kepada karya sastera dan menyuburkan penghayatan pembaca.  Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memper-
kaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan  pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera, tetapi masih relevan erti sastera  kepada kehidupan manusia.

Sastera pernah menjadi menjadi wahana menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan masyarakat Melayu pada tahun 1930-an. Sastera digunakan untuk menanamkan 
semangat cinta kepada tanah air, menyuburkan semangat patrotik, menggalakan perkem
bangan semangat cinta akan bahasa dan kebudayaan sendiri, memperlihatkan keburukan
pemerintahan penjajah yang tidak jujur, dan membentuk semangat perpaduan. Lahir sasterawan seperti Harun Aminurrasyid ( Melor Kuala Lumpur ),   Ahmad  Bakhtiar ( Korban Keris Melaka ),  Shamsudin Salleh ( Pemimpin Sulit ),  dan  Ishak   Haji Muhammad ( Anak Mat Lela Gila ). Hari ini sastera masih bererti untuk menyemarakkan semangat itu apabila kita dapati bahawa masih banyak sasterawan yang menghasilkan sajak yang berkaitan dengan kemerdekaan.

No comments:

Post a Comment